FARIZAL (dua dari kiri) diketepikan pada aksi persahabatan menentang Etoile FC malam ini kerana menjalani rawatan susulan berkaitan kecederaan patah tulang pipi. |
HANYA 23 daripada 24 pelatih dibawa jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal ke Singapura pagi semalam bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang kelab Perancis, Etoile FC di Stadium Jalan Besar malam ini.
Ini kerana, Farizal Marlias terpaksa diketepikan setelah penjaga gol Negeri Sembilan itu perlu menjalani rawatan susulan berkaitan kecederaan patah tulang pipi yang dialaminya pada Julai 2010.
Berdasarkan situasi itu, gawang Malaysia malam ini akan dikawal sama ada oleh penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat atau penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli.
Farizal yang sempat menjalani latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya sejak Isnin lalu hingga kelmarin berkata, dia kini perlu berusaha lebih keras untuk bersaing merebut tempat bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2014, Jun depan.
“Bahagian tepi mata masih terasa sakit akibat kecederaan patah tulang pipi tahun lalu dan ketika melakukan pemeriksaan Selasa lalu, doktor minta buat pemeriksaan susulan hari ini (semalam).
“Sebab itulah saya tercicir untuk ke Singapura. Tetapi tak rasa kecewa sangat kerana bagi saya mata ini lebih penting untuk dirawat demi masa depan karier,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Farizal yang beraksi cemerlang ketika skuad kebangsaan bertemu Manchester United pada 2009, terpaksa diketepikan pada Sukan Asia 2010 dan Piala Suzuki AFF 2010 akibat kecederaan pipi itu.
Namun, pemain kelahiran Pahang berusia 25 tahun itu tetap mengharapkan baki 23 pemain kebangsaan yang lain mengekalkan momen- tum kemenangan pada pertemuan dengan Etoile FC malam ini.
“Saya yakin siapa saja yang diturunkan jurulatih sama ada Khairul Fahmi atau Sharbinee, kedua-duanya mampu beraksi dengan baik. Cuma cara mereka sahaja ber- beza.
“Kita telah mulakan tahun 2011 dengan menewaskan Hong Kong 2-0 bulan lalu. Diharap rentak kemenangan dapat diterus- kan bertemu Etoile FC,” jelas Farizal yang menggantikan Khairul Fahmi pada 30 minit terakhir aksi bertemu Hong Kong itu.
Sementara itu, ketiadaan Safee Sali bakal menyaksikan Norshahrul Idlan Talaha berkemungkinan besar digandingkan dengan Ahmad Fakri Saarani di jentera serangan malam ini.
No comments:
Post a Comment