PERSATUAN Bola Sepak Perlis (PFA) menyenaraikan nama beberapa jurulatih terkenal tanah air bagi memimpin skuad Singa Utara selepas jurulatih skuad Liga Super Perlis, Mosthakeen Omar meletak jawatan, 1 Mac lalu.
Pengerusi PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika dihubungi Sinar Harian berkata, antara nama jurulatih yang dirisik Perlis ialah bekas pengendali Negeri Sembilan, Wan Jamak Wan Hassan.
“Rundingan dengan beberapa pihak berkaitan pemilihan jurulatih ini sudah di peringkat akhir. Wan Jamak antara jurulatih yang difikirkan sesuai mengisi kekosongan yang ditinggalkan Mosthakeen.
“Apa pun nanti kita akan umumkan nama jurulatih yang dipilih dan proses pelantikan akan dibuat secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Singa Utara, Azhar Ahmad mengakui pihaknya sedang berusaha memujuk Wan Jamak untuk membimbing skuad Singa Utara.
Bagaimanapun katanya, sehingga kini pengendali berasal dari Johor itu masih belum memberi sebarang kata putus mengenai masa depannya.
“Ya kita sedang berusaha membawa Wan Jamak ke Perlis, namun beliau masih belum memberi sebarang jawapan kerana perlu berbincang dengan ahli keluarganya terlebih dulu,” katanya.
Ketika ini, pasukan Perlis dibimbing bekas pertahanan Perlis, Salim Topel Mohamad buat sementara waktu sehingga pasukan itu mendapat jurulatih baru.
“Buat masa ini, kita menggunakan khidmat Salim sebagai persediaan menghadapi perlawanan Liga Super.
“Salim adalah bekas tonggak pertahanan Perlis era 70-an dan beliau layak memikul tanggu jawab tersebut,” katanya.
No comments:
Post a Comment