Hamidin Mohd. Amin (tengah) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Kelana Jaya, semalam. - UTUSAN/Abd. Rahman Saleh |
PETALING JAYA - Tiada sikap pilih kasih atau berat sebelah menjadi amalan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung penentuan venue perlawanan.
Buktinya, dua keputusan berhubung keadaan kurang memuaskan gelanggang Selangor, Stadium Shah Alam dan perlawanan Sabah dengan Harimau Muda A yang tertangguh, tetap dibuat secara tegas, telus dan wajar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Gara-gara padang yang tercabut rumputnya dalam suku akhir pertama Piala FA melibatkan Selangor-Johor, kelmarin, Stadium Shah Alam kini diarahkan ditutup selama 16 hari sehingga 2 April ini untuk diperbaiki oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Pengerusi jawatankuasa, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata: "Saya sendiri tidak berpuas hati dengan rumput padang di situ dan akan meminta MBSA memperbaikinya segera dalam tempoh itu. Jika tidak, Selangor dan beberapa pasukan lain selaku tuan rumah di situ perlu bermain di tempat lawan.
"Walaupun keadaannya tidak terlalu teruk, saya diberitahu ia disebabkan rumputnya baru ditampal 10 hari lalu dan menjadi sebegitu akibat hujan lebat kebelakangan ini," katanya yang juga Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) selepas mesyuarat jawatankuasa itu.
Hamidin juga mengakui kekerapan penggunaan oleh dua lagi pasukan tuan rumah di Stadium Shah Alam iaitu Piala Presiden Selangor dan Harimau Muda A sejak dua hingga tiga bulan lalu, memberikan kesan yang begitu ketara kepada keadaan rumput di situ.
"Selain Stadium Shah Alam (tuan rumah perlawanan akhir Piala FA, 11 Jun), jawatankuasa akan terus memantau keadaan padang dan lampu limpah di Stadium JCorp, Pasir Gudang; Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
"Malah pemeriksaan kedua gelanggang semua pasukan Liga Malaysia akan dijalankan secara mengejut pada Mei ini. Stadium Darul Makmur, Kuantan pula perlu ditutup mulai 1 April hingga tahun depan bagi dibaik pulih untuk menghadapi Sukan Malaysia 2012," katanya.
Justeru jelasnya, Pahang akan terus bermain sebagai tuan rumah di gelanggang lawan bagi baki aksinya musim ini dalam Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Presiden.
Sementara itu, jawatankuasa turut mengarahkan perlawanan Liga Super antara Sabah dengan Harimau Muda A dimainkan semula pada satu tarikh yang akan ditetapkan selepas ditangguhkan di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 12 Mac lalu atas sebab teknikal.
Kata Hamidin: "Kami juga meminda tiga perlawanan Liga Super Harimau Muda A menentang Terengganu, Sabah dan Pahang pada 14, 17 dan 21 Jun bagi memberi laluan persediaan mereka dalam pusingan kedua Kelayakan Olimpik.
"Bergantung kepada undian 30 Mac ini, mereka mungkin bermain pada Julai depan yang dijamin tidak memberikan kesan besar kepada Liga Super selain beberapa pemain skuad Olimpik ini dapat bermain dengan negeri dan kelab mereka," katanya.
Pengurus pasukan Harimau Muda A, Datuk Afandi Hamzah yang juga timbalan pengerusi jawatankuasa berkenaan, bagaimanapun meninggalkan seketika mesyuarat ketika keputusan itu dibuat bagi mengelakkan pertindihan kepentingan.
No comments:
Post a Comment