Thursday, March 31, 2011

Cuaca panas bukan halangan: Kim Swee

HARAPAN menyaksikan skuad negara melepasi pusingan kedua Kelayakan Olimpik London 2012, dilihat cerah selepas diundi menentang pasukan Lubnan. 

Namun, pemain negara digesa agar tidak mengambil mudah perlawanan itu yang dijangka berlangsung pada 19 dan 23 Jun depan. 

Jurulatihnya, Ong Kim Swee berkata pertemuan menentang Lubnan merupakan satu perlawanan berat buat pasukan Olimpik negara tetapi tetap berkeyakinan tinggi untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri pada aksi pertama nanti. 

Katanya, setiap pemain negara cukup bersedia dan menjanjikan persembahan cemerlang menentang pasukan dari timur tengah itu. 

“Walaupun kami perlu bermain di tempat lawan terlebih dahulu, itu bukan satu masalah kerana masih ada lagi perlawanan kedua di sini. 

“Saya juga mendapat maklumat keadaan cuaca di sana amat panas sekitar bulan Jun dan ini sudah tentu menyulitkan pemain,” katanya selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), di Bukit Jalil, semalam. 

Sementara itu, Kim Swee turut merancang untuk mengadakan latihan intensif di timur tengah serta mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan Syria dan Bahrain sebagai medan ujian sebelum perlawanan menentang Lubnan. 

Katanya, satu analisis akan dibuat bagi mengenal pasti kelemahan pasukan selepas perlawanan persahabatan itu. 

Skuad negara layak ke pusingan kedua selepas menumpaskan Pakistan dengan agregat 2-0 hasil kemenangan pertama di Shah Alam, 23 Februari lalu. 

Untuk rekod, Malaysia layak ke pusingan akhir Sukan Olimpik sebanyak dua kali iaitu di Munich Jerman pada 1972 dan Temasya Moscow, Rusia, 1980.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...