Thursday, March 24, 2011

Pertemuan demi jaga maruah

Rajagobal tidak pandang ringan aksi Harimau Malaya bertemu Etoile FC

PERTEMUAN skuad Harimau Malaya menentang kelab Etoile FC, Sabtu ini mungkin sekadar perlawanan persahabatan kecil di mata umum, tetapi bagi K Rajagobal, tiada lawan yang boleh dianggap remeh apabila seseorang pemain itu menyarung jersi kebangsaan. 

“Saya bukan mengendalikan pasukan kelab atau negeri, jadi setiap perlawanan diharungi pemain muda ini membabitkan maruah negara,” kata ketua jurulatih pasukan kebangsaan itu.



“Menerusi perlawanan begini baru saya dapat menilai sejauh mana kesungguhan seseorang pemain untuk mewakili negara. Jika hanya pada perlawanan penting saja baru mahu bersungguh-sungguh, mereka tidak layak bergelar pemain kebangsaan.”


Selepas tiga hari mengendalikan sesi latihan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Rajagobal berpuas hati dengan semangat dan kesungguhan dipamerkan semua 24 pelatih yang dipanggilnya sejak Isnin lalu. 

“Inilah perkara yang saya mahu lihat dalam sesi latihan begini,” kata Rajagobal yang akan membawa semua 24 pemain ke Singapura, esok. “Saya juga berpeluang menguji beberapa pemain yang berpotensi merealisasikan impian layak ke Piala Asia 2015.” 

Ketiadaan Safee Sali kali ini memberikan ruang buat Rajagobal menguji beberapa penyerang muda yang mampu mewakili negara untuk tempoh lima hingga lapan tahun lagi. 

Antaranya penyerang Harimau Muda A, Izzaq Faris Ramlan, Ahmad Fakri Saarani dari Negeri Sembilan, Shahrizal Saad (Johor FC) selain penyerang utama, Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...