Thursday, March 31, 2011

Perhitungan dengan Lebanon


MALAYSIA akan bertemu Lebanon pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Sukan Olimpik 2012 London.
Skuad bimbingan jurulatih Ong Kim Swee (gambar kecil) itu akan bertandang ke Lebanon pada 19 Jun dan akan menanti kedatangan lawan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Jun.
Negara Timur Tengah itu memperoleh kelayakan terus ke pusingan kedua berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Sukan Olimpik 2008 di Beijing bersama 11 lagi negara iaitu Korea Selatan, Korea Utara, Australia, China, Jepun, Iraq, Bahrain, Qatar, Arab Saudi, Syria, Uzbekistan dan Vietnam.
Atad kertas, dalam ranking Fifa, Malaysia berkemungkinan tiada masalah bertandang ke bumi Lebanon kerana Malaysia kini berada di tangga ke-138 dunia dan ke-21 Asia sementara lawan mereka itu berada dalam ranking ke-169 dunia dan ke-32 di Asia.
Kim Swee ketika ditemui pemberita selepas majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Bukit Jalil semalam bagaimanapun mengakui perlawanan menentang Lebanon pastinya getir kerana kedua-dua pasukan tidak pernah bertemu sebelum ini.
“Kita tidak tahu corak permainan mereka dan akan membuat analisis terlebih dahulu serta membuat perancangan latihan pusat.
“Selain itu kita juga akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan Syria ataupun Bahrain bagi memantapkan skuad Olimpik negara.
“Bagaimanapun ia masih dalam perancangan. Masih belum muktamad. Kita memilih Syria atau Bahrain kerana mahu membiasakan pemain dengan keadaan cuaca di sana, yang sama seperti cuaca di Lebanon,” katanya.
Beliau berkata, terdahulu pihaknya mempunyai cadangan untuk membuat latihan pusat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) atau Qatar tetapi terpaksa melupakan hasrat itu kerana cuaca yang terlalu panas di sana tidak sesuai untuk anak-anak buahnya.
Menurut Kim Swee, jika salah satu negara sama ada Syria atau Bahrain bersetuju dengan permohonan Malaysia untuk mengadakan latihan di sana, skuad Olimpik negara akan berlepas pada 8 Jun untuk membuat latihan pusat sehingga ke hari perlawanan itu.
Ditanya mengenai persediaan skuad bimbingannya itu, beliau berkata kesemua pemain kini berlatih di padang Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya.
“Saya akan menumpang enam atau tujuh pemain saya bermain bersama skuad K. Rajagobal (Harimau Malaya) pada perlawanan persahabatan menentang Hong Kong pada awal Jun depan.
Namun, beliau tidak menyatakan nama-nama pemain yang akan bersama skuad Harimau Malaya nanti yang akan bertanding pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan pada Julai.
Skuad kebangsaan, di bawah bimbingan Ong Kim Swee, melangkah ke pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik selepas menewaskan Pakistan dengan agregat 2-0.
Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah pada 1980 di Moscow tetapi kerajaan Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...