Thursday, March 17, 2011

Razali Umar 'hilang' lagi

Razali Umar

IPOH - Penyerang sensasi, Razali Umar Kandasamy berdepan hukuman lebih keras daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) kerana tidak hadir latihan skuad Perak.

Presiden PAFA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, masalah ketidakhadiran Razali dalam latihan harian skuad Liga Super akan dibincangkan dalam 
mesyuarat pengurusan PAFA hujung bulan ini.

"PAFA memandang serius ketidakhadiran Razali dalam latihan tanpa sebab dan kami akan membincangkan perkara ini secara terperinci.

"Razali juga perlu memberikan surat tunjuk sebab tidak hadir latihan,'' kata di sini, semalam.

Penyerang berbisa skuad Seladang itu sekali lagi 'menghilang' di bawah kendalian jurulatih, Norizan Bakar sehingga gagal dikesan sejak 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Razali juga tidak menjalani latihan selama tiga minggu selepas skuad Seladang pulang daripada menjalani latihan di Bangkok pada 26 Disember lalu.

Ekoran itu, PAFA memberi amaran terhadap penyerang tersebut.

Sebelum ini, Razali juga gagal hadir menjalani latihan pusat skuad kebangsaan apabila dipanggil oleh jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal tahun lalu.

Kehilangan terbarunya sejak 9 Mac lalu sekali lagi memeningkan PAFA. Namun 
Razali ada menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang pegawai skuad Seladang baru-baru ini, dengan menyatakan dia cirit-birit.

Namun selepas itu, penyerang tersebut gagal dikesan sehingga namanya tidak disenaraikan dalam skuad Seladang ketika menentang T-Team dalam perlawanan Liga Super di Kuala Terengganu 12 Mac lalu.

Razali juga tidak disenaraikan dalam pertemuan suku akhir pertama Piala FA antara Perak dengan Terengganu di Ipoh, kelmarin.

"Saya tidak tahu mengapa Razali mengambil tindakan sedemikian yang menjejaskan perancangan jurulatih Norizan.

"PAFA juga sudah memotong gaji Razali selama dua bulan atas kesalahan ponteng latihan tetapi dia masih gagal mengubah tabiatnya," kata Presiden PAFA itu.

Zainol Fadzi meminta Razali berjumpa dengan mana-mana pegawai PAFA jika pemain itu mempunyai masalah.

"Razali mempunyai pengikut dan peminatnya tersendiri yang mahu melihat dia beraksi bersama skuad Seladang.

"Oleh itu jangan hampakan mereka," katanya.

Sementara itu, pengendali skuad Seladang, Norizan berkata, ketiadaan Razali bukan masalah besar buat pasukannya.

"Saya mempunyai ramai pemain lain yang berminat beraksi dengan pasukan ini,'' katanya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...