BIARPUN tewas dalam saingan suku akhir pertama Piala FA kepada Perak malam kelmarin, pengendali skuad Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim tetap optimis anak buahnya mampu bangkit pada pertemuan kedua di halaman sendiri.
Menurut Irfan, kekalahan itu memberi pengajaran berguna kepada pemain untuk bangkit di Kuala Terengganu dan seterusnya layak ke separuh akhir yang bakal dipertemukan antara Kuala Lumpur ataupun Pahang.
“Saya sedar pertemuan dengan skuad Seladang pasti menghadirkan saingan sengit lebih-lebih lagi lawan belum tewas setakat ini. Kelebihan bermain di gelanggang sendiri menguatkan azam pasukan untuk memadam kelebihan satu gol Perak dan seterusnya mara ke separuh akhir,” katanya dengan penuh yakin.
Pada pertemuan suku akhir pertama malam kelmarin, Terengganu yang berhajat ke final tewas 2-3 di Ipoh.
Mengulas pertemuan itu, Irfan Bakti yang terkenal dengan ketegasannya berkata, secara keseluruhan dia berpuas hati dengan corak dipamerkan pemain sepanjang 90 minit permainan.
Beliau turut mengharapkan kapten, Marzuki Yusof yang direhatkan sejak dua perlawanan lalu akibat kecederaan dapat diturunkan bagi mengukuhkan benteng.
“Kehadiran Marzuki bakal memperkemaskan lagi kesebelasan utama Terengganu nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment