Thursday, March 24, 2011

Pafa mungkin gantung khidmat Razali

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) yang sudah bosan dengan Razali Umar Kandasamy mungkin mengambil keputusan menggantung penyerang itu yang turut gagal menghadiri latihan sejak 9 Mac lalu.

Masalah pemain ini dikatakan akan turut menjadi agenda mesyuarat pengurusan Pafa minggu depan.


Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang khabar berita daripada Razali walaupun cuba dikesan.



Sebelum menghilang tanpa dapat dikesan, hanya satu sistem pesanan ringkas (SMS) dikatakan diterima seorang pegawai pasukan daripada pemain itu yang menyatakan dia mengalami cirit birit dan tidak dapat turun berlatih.


“Razali tidak pernah menghubungi saya sejak kehilangannya heboh diperkatakan 9 Mac lalu,” kata Zainol Fadzi.



Kegagalan Razali menghadiri latihan menyebabkan beliau diketepikan dalam satu perlawanan Liga Super dan dua perlawanan suku akhir Piala FA.



“Kami tidak tahu masalah dihadapi penyerang ini. Ia akan menjadi salah satu agenda mesyuarat pengurusan Pafa minggu depan,” kata Zainol Fadzi.


Beberapa ahli Majlis Pafa sebelum ini mencadangkan supaya penyerang berusia 25 tahun ini dikenakan tindakan lebih keras.



Pada awal musim, Pafa memotong gaji Razali selama dua bulan kerana gagal menghadiri latihan selama tiga minggu.


“Kalau hukuman potong gajipun tidak menginsafkan Razali, hukuman penggantungan mungkin akan menyedarkannya,” kata seorang ahli majlis Pafa sebelum ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...