SEREMBAN - Cakap sudah berbuih, nasihat sudah bertimbun. Amaran juga telah dikeluarkan, tetapi hasilnya masih macam itu juga, entah di mana silapnya. Itulah yang memeningkan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Datuk Seri Mohamad Hasan.
"Kita ada ramai pemain hebat di setiap posisi. Ada yang tidak kena dengan pasukan ini," katanya semalam.
Mohamad sudah tidak boleh sabar apabila prestasi pasukan Hoben Jang Hoben semakin merudum, selepas tewas dalam beberapa perlawanan termasuk kempunan Piala FA baru-baru ini.
Tegasnya, tindakan drastik termasuk memecat, menggantung serta merombak pasukan perlu dilakukan jika keadaan pasukan makin teruk.
"Kita sedang menilai dan mempertimbangkan individu mana yang harus dikenakan tindakan jika masalah ini terus berulang, kerana mereka sudah bermain pada tahap profesional," katanya.
Mohamad, yang juga Menteri Besar berkata, pada pandangan peribadinya, pemain skuad Rusa kurang mendapat latihan yang mencukupi selain lemah dalam aspek taktikal.
"Mana tidaknya, kalau depan gol pun sepak bola ke atas, tanduk pun tidak masuk, nampak sangat mereka ini kurang latihan.
"Kalau belakang parang kita asah sekali pun boleh tajam, begitulah pemain.
"Kita kena asah dengan betul, barulah skilnya pun tajam," katanya.
Mohamad turut kecewa kerana pemain yang dibayar gaji besar tetapi gagal mempamerkan persembahan yang mantap.
''Sampai bila kita hendak melihat mereka kembali 'panas'. Kita bayar gaji sampai RM17,000 hingga M25,000, takkanlah cekak pinggang sahaja atas padang," ujarnya.
Untuk itu, selaku Presiden PBNS, beliau telah mengeluarkan surat amaran kepada pemain dan pegawai termasuk kepada jurulatihnya, Wan Jamak selepas pasukan ini tersingkir dalam aksi Piala FA, apabila kalah 2-4 kepada Kuala Lumpur pada 4 Mac lalu.
Terbaru dalam saingan Liga Super pula, Negeri Sembilan tewas 1-2 kepada Selangor di gelanggang sendiri.
Pasukan itu hanya mengumpul sembilan mata dalam enam perlawanan untuk berada pada kedudukan kesembilan liga.
No comments:
Post a Comment