SEANDAINYA senarai pasukan yang bersaing pada pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia diteliti, skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih K Rajagobal seharusnya tidak terlalu sukar untuk melepasinya.
Apa tidaknya antara yang menanti Harimau Malaya pada perlawanan pusingan pertama adalah pasukan seperti Afghanistan, Nepal, Bangladesh, Sri Lanka, Mongolia, Pakistan, Palestin, Macau dan Taiwan selain musuh tradisi di Asia Tenggara iaitu Vietnam, Myanmar, Laos, Kemboja, Filipina dan Timor Leste.
Selain itu, reputasi Harimau Malaya yang turun sebagai juara Piala Suzuki AFF dan pemenang pingat emas Sukan Sea sudah pasti menggerunkan lawan ditambah dengan keputusan beberapa perlawanan persahabatan yang memberangsangkan sejak kebelakangan ini termasuk mengatasi Hong Kong, dengan keputusan 2-0.
Cabaran sebenar skuad kebangsaan pastinya pusingan kedua yang berlangsung pada 23 dan 28 Julai sekiranya berjaya melepasi pusingan pertama dengan menyertai 22 pasukan yang mempunyai ranking lebih tinggi seperti Bahrain, Arab Saudi, Iran, Qatar, Uzbekistan, UAE, Syria, Oman, Jordan, Iraq, Singapura, China, Kuwait, Thailand, Turkmenistan, Lebanon, Yemen, Tajikistan, Hong Kong, Indonesia, Kyrgyzstan, Maldives dan India.
Namun, kapten kebangsaan, Mohd Safiq Rahim (gambar) enggan memandang ringan cabaran pusingan pertama dengan menyifatkan semua pasukan mempunyai peluang seimbang terutamanya apabila perlawanan itu dilangsungkan secara timbal balik.
“Kami tidak boleh terlalu yakin dengan kejayaan lalu kerana ini pentas yang berbeza dan setiap pasukan melakukan persiapan rapi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk melayakkan diri ke kejohanan paling berprestij di dunia ini.
“Tanpa terlalu memikirkan siapa yang bakal menjadi lawan, kami perlu mengekalkan rentak kemenangan sebelum ini. Kami juga perlu mengekalkan semangat dan kerjasama sepasukan,” katanya.
Perancang tengah itu bagaimanapun turut mengingatkan rakan sepasukan agar memastikan mereka bebas daripada kecederaan dalam tempoh dua bulan sebelum perlawanan pusingan pertama bermula pada 29 Jun dan 3 Julai.
“Saingan liga tempatan memang padat pada April dan Mei dan kami semua harus waspada agar berpeluang menggalas cabaran negara,” kata pemain Selangor itu.
Undian pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 berlangsung di Rumah Konfederasi Bola Sepak Asia pada Rabu ini selain turut berlangsung undian pusingan kedua kelayakan Sukan Olimpik 2012 yang membabitkan skuad Olimpik kebangsaan selepas menewaskan Pakistan, 2-0 pada pusingan pertama.
No comments:
Post a Comment