SEKALIPUN sebelah kaki sudah berada di pentas separuh akhir Piala FA, Selangor tidak memandang remeh aksi perlawanan kedua menentang Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin, malam ini.
Jurulatih K Devan berkata, dia akan mengarahkan anak buahnya bermain seperti biasa dan cuba memburu gol awal bagi memastikan keadaan lebih selesa dan pemain tidak tertekan.
“Kami perlu menjaringkan gol dan bermain seperti biasa kerana jika bertahan, mungkin lawan akan menggunakan kesempatan untuk menghukum kami,” katanya.
Selangor bertandang ke Larkin dengan membawa bekalan agak selesa hasil kemenangan 3-1 di Stadium Shah Alam, Selasa lalu.
Sementara itu, kapten Selangor, Mohd Amri Yahyah meminta rakan sepasukannya terus mempamerkan peningkatan terutama di bahagian jentera serangan yang banyak mensia-siakan peluang jaringan pada aksi pertama itu.
“Kami sepatutnya membawa bekalan gol yang lebih banyak tetapi gagal memanfaatkan peluang,” katanya yang akan sekali lagi digandingkan dengan Rudie Ramli andai kecederaan paha Fadzli Saari belum pulih sepenuhnya.
Dia dan Rudie mempamerkan keserasian dengan masing-masing menyumbang satu gol ketika menewaskan Johor 3-1.
No comments:
Post a Comment