Sunday, March 27, 2011

Skuad Raja sekadar seri dengan Etoile FC

  AHMAD Fakhri (kanan) berebut  dengan pemain Etoile FC, Piere Nlate pada perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.
AHMAD Fakhri (kanan) berebut dengan pemain Etoile FC, Piere Nlate pada perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura malam tadi. Perlawanan berkesudahan seri 1-1.



Aksi dalam perlawanan persahabatan di Singapura 

PERTUKARAN besar dilakukan K Rajagobal pada babak kedua menyaksikan skuad kebangsaan sekadar seri 1-1 bertemu Etoile FC, selepas mendahului babak pertama hasil jaringan minit ketujuh Ahmad Fakri Saarani dalam perlawanan persahabatan di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam tadi.

Selepas menang ke atas Hong Kong 2-0 di Stadium Shah Alam, Februari lalu, barisan anak didik Rajagobal masih mampu menarik nafas lega dengan keputusan seri dengan kelab dari Perancis itu tatkala membuat persiapan bagi kempen kelayakan Piala Dunia 2014, Jun ini.


Seawal minit keenam, skuad Rajagobal selesa berada di depan menerusi tandukan kemas Fakri yang menerima hantaran cantik Asraruddin Putra Omar untuk menewaskan penjaga gol Etoile FC, Antonin Trilles. 

Ternyata beraksi di padang rumput tiruan tidak menimbulkan masalah buat Malaysia mendominasi perlawanan di awal 15 minit pertama menyebabkan penyandang juara Liga Singapura (Liga-S) 2010 itu bekerja keras mencari gol penyamaan. 

Kesilapan Ahmad Muslim pada minit ke-33 yang menanduk bola ke belakang hampir mencemaskan gawang apabila Kevin Lefranc yang tidak dikawal, hanya berdepan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat tetapi sempat dihadang Asraruddin. 

Corak permainan Malaysia seolah-olah tenggelam di penghujung babak pertama, malah hampir memberi peluang buat Etoile FC menyamakan jaringan pada minit ke-39 tetapi tandukan Jonathan Toto dihampakan palang gol. 
Bersambung babak kedua, penguasaan jelas milik Etoile FC yang rakus menggempur kubu terakhir negara, dan hampir menyamakan jaringan pada minit ke-49, namun penjaga gol gantian, Mohd Sharbinee Allawee sempat melayangkan badan untuk menafikan rembatan Selim Kaabi. 

Namun kelekaan pertahanan pada minit ke-62 yang membiarkan Hicham Bouchemlal mengawal bola di luar kotak penalti, membuka ruang buat pemain itu merembat kencang untuk gol penyamaan. 

Barisan Rajagobal seharusnya mencipta gol kedua pada minit ke-72 tetapi Ashaari Samsudin gagal menewaskan Trilles manakala lawan juga terlepas peluang gol kemenangan apabila Toto yang berdepan Sharbinee pada minit ke-73, gagal melakukan penyudah berkesan. 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...