Friday, March 18, 2011

Wan Jamak letak jawatan jurulatih NS

SEREMBAN – Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) menerima peletakan jawatan jurulatih Wan Jamak Wan Hassan berikutan kemerosotan prestasi Hoben Jang Hoben ketika ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat tergempar persatuan itu selepas menerima surat daripada Wan Jamak awal pagi semalam, yang menyatakan hasratnya untuk berundur sebagai ketua jurulatih pasukan itu.

Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat dengan berat hati membuat keputusan itu tanpa menafikan jasa yang telah dicurahkan oleh jurulatih berkenaan sehingga Negeri Sembilan berjaya merangkul Piala FA dan Piala Malaysia.

“Sebagai seorang profesional di bidang kejurulatihan, beliau mengambil tanggungjawab di atas kegagalan pasukan. Beliau telah memberikan surat pagi ini yang meminta dibenarkan berundur sebagai jurulatih pasukan.

“Memang berat nak melepaskan beliau kerana jasanya yang membawa Negeri Sembilan dua kali menjadi juara.

“Saya kena hormat pendirian beliau kerana dia telah cuba yang terbaik tapi tidak berkesan, jadi biar dia undur diri dan beri laluan kepada jurulatih lain yang dapat melonjakkan prestasi pasukan,’’ katanya kepada para pemberita di sini semalam.

Sebelum itu, Wan Jamak menghantar surat peletakkan jawatan kepada PBNS semalam.

Beliau mengakui bertanggungjawab di atas kemerosotan pasukannya, yang mengalami empat kekalahan daripada lapan perlawanan Liga Super.

“Saya menghantar surat peletakan jawatan pagi ini (semalam) kerana merasakan bertanggungjawab di atas kemerosotan pasukan Negeri Sembilan dan akur dengan kehendak pengurusan persatuan, walaupun saya akui masih ada ruang untuk meningkatkan kembali prestasi pasukan kerana saingan Liga Super masih lagi di peringkat awal.

“Demi kepentingan pasukan, lebih baik saya berudur bagi memberi laluan kepada pengurusan untuk mengambil tindakan memperbaiki keadaan,” katanya semalam.

Wan Jamak Wan Hassan

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...