Tuesday, March 29, 2011

Jangan harap jumpa Vietnam

LUPAKAN saja Vietnam kerana pasukan itu kini tiada dalam senarai pasukan pilihan yang bakal ditentang skuad Olimpik negara pada pusingan kedua kelayakan Olimpik London 2012.
Sebaliknya skuad negara yang dibimbing Ong Kim Swee perlu bersedia untuk menerima segala kemungkinan keputusan undian lebih mencabar yang hanya akan diketahui pada majlis undian di ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Bukit Jalil, esok.

“Vietnam tidak tersenarai sebagai pasukan pilihan pada undian pusingan kedua. Dalam senarai kedudukan pasukan pilihan, mereka di tangga ke-13. Pasukan negara tidak akan bertemu Vietnam kerana kita hanya akan diundi bertemu pasukan di kedudukan pertama hingga 12 saja.




“Bagi saya mana-mana pasukan yang akan kita tentang pada pusingan kedua adalah kuat. Jika kita lihat, Uzbekistan pasukan yang menduduki tempat terakhir dalam senarai pasukan pilihan namun mereka tetap pasukan yang kuat dan kami tetap perlu menghadapinya,” kata Kim Swee.

Sebelum ini ada yang mengharapkan agar tuah undian mempertemukan Malaysia dengan pasukan yang memiliki ranking lebih rendah seperti Vietnam pada pusingan kedua berbanding pasukan handalan Jepun, Australia, Korea Selatan, Korea Utara, Bahrain, China, Iraq, Lebanon, Qatar, Arab Saudi, Syria dan Uzbekistan.


Vietnam pada mulanya berada dalam senarai 13 pasukan pilihan yang mendapat bye pada pusingan pertama berdasarkan pencapaiannya pada pusingan kelayakan Olimpik Beijing 2008.




Namun, pasukan itu akan diletakkan bersama 11 lagi pasukan yang melepasi pusingan pertama termasuk Malaysia yang mengatasi Pakistan menerusi agregat 2-0 awal bulan ini.

Sementara itu, AFC memutuskan skuad Olimpik negara akan berkunjung ke gelanggang lawan pada perlawanan pertama pusingan kedua 19 Jun depan sebelum beraksi di arena sendiri lima hari selepas itu dalam mencari slot ke pusingan ketiga.




“Kalau kami berjaya menjaringkan satu atau dua gol di tempat lawan pastinya lawan akan tertekan pada perlawanan kedua,” jelas Kim Swee yang kini sibuk mempersiapkan skuad Harimau Muda A menjelang pertemuan dengan Kelantan pada aksi Liga Super Jumaat ini.

Malaysia kali pertama layak ke Sukan Olimpik Munich pada 1972 namun memboikot penyertaan kali kedua meskipun layak beraksi di Sukan Olimpik Moscow pada 1980 atas dasar politik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...