KETUA jurulatih Selangor, K Devan merancang mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan untuk mengekalkan stamina pemainnya setelah kempen Liga Super berhenti rehat kira-kira dua minggu.
Menurutnya, tiada aksi kompetitif sehingga awal April depan mendorong beliau untuk mengatur perlawanan persahabatan dengan Sime Darby dan Tentera bulan ini.
“Bagi mengekalkan kecergasan pemain, saya merancang mengatur perlawanan persahabatan dengan dua pasukan dari Liga Perdana.
“Saya mahu menguji pemain yang jarang diturunkan pada aksi liga domestik dan memberi peluang pemain baru pulih dari kecederaan mempamerkan taring masing-masing,” katanya.
Devan berharap semua pemainnya sentiasa cergas dan dapat diturunkan pada bila-bila masa kerana mereka bakal menghadapi jadual padat apabila saingan liga kembali bersambung 2 April depan.
Menurutnya, ini memberikan dia banyak opsyen memilih pemain dan tidak berdepan kesukaran jika terdapat pemain dilanda kecederaan.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Kelantan dalam saingan separuh akhir Piala FA nanti, Devan berharap tuah kembali memihak kepada pasukannya.
Menurutnya, dalam pertemuan sebelum ini, Kelantan mengecewakan Selangor dalam peringkat suku akhir Piala Malaysia tahun lalu dan menghalang hajat Merah Kuning mencipta hatrik merangkul Piala Sumbangsih awal tahun ini.
No comments:
Post a Comment