Monday, March 21, 2011

Baddrol tekad curi hati Raja

PEMAIN sayap Kedah, Baddrol Bakhtiar bertekad mengukuhkan kembali namanya dalam skuad kebangsaan selepas sekadar memendam rasa melihat rakan sepasukan gah di pentas berprestij menjulang trofi Piala Suzuki AFF, Disember lalu.


Dia yang terlepas dua kejohanan utama tahun lalu, Sukan Asia di Guangzhou dan Piala Suzuki AFF akibat kecederaan lutut kanan kembali dipanggil bersama 23 pemain oleh jurulatih kebangsaan K Rajagobal bagi menjalani latihan pusat di Wisma FAM, hari ini.

Baddrol yang kini berusia 23 tahun tidak mahu menghampakan Rajagobal yang masih menaruh kepercayaan kepadanya meskipun mengakui belum berada di tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan.


“Memang kembali bersemangatlah apabila dipanggil semula berlatih dengan skuad kebangsaan. Tak sangka jurulatih masih beri kepercayaan kepada saya. Saya tahu persaingan merebut tempat dalam skuad sengit tapi apa yang penting saya kena tunjukkan kemampuan dan berlatih lebih giat untuk kembali cergas.

“Sekarang saya sudah tak rasa takut nak bermain selepas cedera, semua sudah OK. Memang di awal permulaan saingan Liga Super prestasi masih kurang tapi selepas tiga, empat perlawanan, permainan saya semakin baik,” katanya yang hanya meledak satu gol dalam kempen Liga Super musim ini.


Baddrol antara pemain kembali disenaraikan Rajagobal selain pemain tengah Selangor, Azidan Sarudin serta pertahanan Kelantan, Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid yang tampil kali pertama dalam skuad kebangsaan.





Selepas kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong pada perlawanan persahabatan antarabangsa Februari lalu, skuad kebangsaan hanya berpeluang menguji kekuatan menentang kelab Perancis yang beraksi dalam Liga Singapura, Etoile FC, 26 Mac ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...