SELEPAS menamatkan program motivasi tiga hari di Pahang, skuad Negeri Sembilan dibimbing ketua jurulatih baru, Azraai Khor Abdullah tampak yakin bangkit daripada persembahan hambar apabila saingan Liga Super kembali bersambung, Sabtu ini.
Menurut Azraai, ada perkembangan positif daripada segi persefahaman dan keyakinan anak buahnya selepas mengikuti program berkenaan dan latihan yang mula dikendalikannya sejak Jumaat lalu, lantas menyuntik rasa yakin buatnya yang menganggap ia petanda baik untuk Negeri Sembilan kembali ke landasan sebenar.
“Matlamat program motivasi ini tercapai, justeru saya menaruh harapan tinggi ia memberi kesan positif ke arah kebangkitan pasukan apabila Liga Super bersambung. Saya yakin pasukan yang memiliki ramai pemain berwibawa ini mampu mengenepikan rekod kurang baik sebelum ini,” katanya, semalam.
Bekas pengendali Harimau Muda A dan Kedah itu berkata, dia cukup berpuas hati dengan peningkatan prestasi penyerang, Ahmad Fakhri Saarani, yang sudah mula menunjukkan keupayaan dan berharap penyerang kebangsaan itu membuktikannya pada aksi bertemu Terengganu di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu ini.
Namun dia mengakui persiapan menampilkan barisan terbaik pada ujian pertama buat dirinya sejak mengendalikan skuad berkenaan 22 Mac lalu, sedikit terjejas berikutan masalah kecederaan membelenggu pertahanan Norhafiz Zamani Misbah (gambar) dan penyerang Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.
Walaupun Zaquan sudah diturunkan sebagai pemain gantian sejak beberapa perlawanan lalu, tahap kecergasannya belum mencapai 100 peratus manakala Norhafiz juga mungkin terpaksa menunggu sehingga pertengahan April untuk pulih sepenuhnya.
“Apapun saya berharap dengan semangat berpasukan tinggi, pemain dapat membuktikan keupayaan sebenar apabila berdepan Terengganu dan perlawanan berikut seterusnya untuk kembali berada dalam kelompok terbaik carta liga,” katanya.
No comments:
Post a Comment