Wednesday, March 16, 2011

Lawan Harimau Malaya cuma berstatus kelab?

KUALA LUMPUR - Harapan peminat untuk menyaksikan perlawanan persahabatan berkelas A melibatkan skuad Harimau Malaya tipis, apabila difahamkan skuad negara hanya akan menentang sebuah pasukan berstatus kelab dari Asia Tenggara.

Ketika ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dikatakan sedang menunggu jawapan daripada skuad kebangsaan Oman terlebih dahulu.

Namun kemungkinan untuk aksi persahabatan itu diadakan amat tipis, kerana berdasarkan semakan Utusan Malaysia dalam laman web www.fifa.com, pasukan dari Asia Barat itu telahpun bersetuju untuk mengadakan perlawanan dengan Tunisia pada 29 Mac di Muscat.

Mungkin masih ada ruang buat Oman untuk menerima kunjungan Malaysia di sana dan mengadakan perlawanan pada 26 Mac, iaitu tiga hari sebelum perlawanan dengan Tunisia, namun ia agak mustahil.

Sehubungan itu, pertemuan dengan pasukan berstatus kelab mungkin menjadi pilihan terakhir buat FAM, ekoran masa yang semakin suntuk memandangkan perlawanan persahabatan yang dirancang hanya tinggal 10 hari sahaja.

Sebelum ini, FAM mengesahkan telah menghantar jemputan kepada Iran, Oman dan Jordan namun Iran serta Jordan telah menolak permintaan Malaysia.
Selain itu, India dan Taiwan juga tidak dapat memberikan komitmen selepas sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam Piala Cabaran AFC.

Apa yang pasti, skuad kendalian K. Rajagobal berdepan kerugian besar kerana tidak dapat bertemu pasukan berkelas A yang boleh membantu skuad negara memperbaiki kedudukan ranking FIFA, jika mencapai kemenangan.

Perlawanan bertemu sebuah pasukan kelab itu nanti mungkin akan sekadar menjadi perlawanan pemanas badan buat Harimau Malaya dan berkemungkinan besar ranking negara akan mengalami sedikit kejatuhan pada bulan April depan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...