KUALA LUMPUR - Dua 'tuan rumah di gelanggang lawan', kelebihan buat Pahang dan Kelantan, peluang kebangkitan juara 2009 dan sejauh mana kemampuan kelab dan pasukan Liga Perdana, semuanya bakal teruji dalam suku akhir Piala FA 2011 secara timbal balik, hari ini.
Angkara Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur yang masih dikenakan 'perintah berkurung' oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), skuad Helang dan Felda United terpaksa merelakan kelebihan itu berpihak kepada lawan mereka dari Pantai Timur, dua kali berturut-turut.
Bola kini seperti di kaki Pahang dan Kelantan namun tiada siapa pun dapat menafikan unsur kejutan persaingan kalah mati mampu diulangi Kuala Lumpur dan Felda United seperti mana berlaku ke atas juara, Negeri Sembilan dan naib juara musim lalu, Kedah.
Namun, dengan mencairkan kekebalan Kelantan dalam Liga Super, keyakinan dan moral Pahang kian meninggi sekarang sekali gus rintangannya bukan kepalang buat anak buah Razip Ismail dalam memburu modal awal sebelum kembali ke Kuantan, Sabtu ini.
Ketumpulan penyudah dan kadar jaringan rendah Kelantan apabila sekadar melepasi T-Team menerusi penentuan penalti dan Johor FC 1-0 dalam pusingan pertama dan kedua pula meyakinkan Felda merencana sesuatu yang menggugat Si Wira Merah dan ribuan penyokong setianya di Kota Bharu.
Hasil kejayaan Pahang dan kemampuan sendiri, Felda sudah pun mengekori Si Kijang dalam Liga Super dan anak buah E. Elavarasan kini pasti semakin teringin untuk melangkah megah sebagai kelab pertama mencecah separuh akhir Piala FA.
Selangor seperti lambat panas dalam Liga Super biarpun terikat 14 mata dengan Kelantan yang menerajui carta namun tuah berdepan Johor yang menduduki tempat keempat Liga Perdana ketika ini, tidak wajar disia-siakan
Gergasi Merah yang berkubu lebih awal di Shah Alam.
Perlu juga diingat bahawa kemampuan anak buah K. Devan dalam Piala FA belum begitu teruji lagi setelah hanya mendapat laluan percuma pusingan pertama, bulan lalu dan melepasi skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda 'B' dalam pusingan kedua, awal bulan ini.
Sebaliknya 'buku bertemu ruas' menanti di Stadium Perak, Ipoh apabila Perak melayani kunjungan Terengganu setelah tuan rumah cuma melepasi ujian dengan mudah, PDRM dan Sime Darby dari Liga Perdana dalam pusingan pertama dan kedua.
Begitu juga Terengganu, selepas hanya berdepan USM dan Angkatan Tentera selain kurang konsisten dalam Liga Super, Irfan Bakti Abu Salim pasti mengidamkan kerja keras berganda pasukannya apabila berdepan lawan yang belum kalah musim ini.
No comments:
Post a Comment