PEMAIN Harimau Kumbang yang tidak menunjukkan permainan konsisten dan bersemangat ketika beraksi berkemungkinan dipecat jika masih leka sehingga menyebabkan pasukan itu kalah teruk.
Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim berkata, beliau malu dengan aksi dan kualiti permainan yang ditunjukkan pemain sepanjang musim ini sehingga ada yang beranggapan setiap permainannya sudah dijual.
Beliau berkata, prestasi yang ditunjukkan pasukan Pulau Pinang sehingga kini sangat mendukacitakan seolah-olah ada usaha pihak tertentu untuk memalukan FAP.
“Semalam (kelmarin) saya memanggil jurulatih untuk mendengar penjelasannya mengenai prestasi pemain namun dia hanya menjawab tidak tahu.
“Saya arahkan dia (jurulatih) memaklumkan perkara ini kepada pemain dan berharap baki tiga perlawanan mereka akan menunjukkan perubahan dengan mempamerkan aksi lebih baik,” katanya pada sidang media di pejabat FAP di sini, semalam.
Sehubungan itu, FAP menubuhkan satu jawatankuasa pemantau pasukan Liga Premier bagi mengenal pasti masalah sebenar yang berlaku sehingga pasukan itu kalah teruk kepada pasukan tidak handal.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan diketuai bekas jurulatih, Abdul Shukor Salleh dan berperanan untuk meneliti, memantau dan mengenal pasti segala kelemahan yang ada dalam pasukan itu.
“FAP memberi mandat sepenuhnya kepada jawatankuasa itu untuk mengambil apa-apa keputusan sekiranya mereka dapat membuktikan ada unsur jual permainan atau usaha pihak tertentu untuk memalukan FAP.
“Apa yang menghairankan pada beberapa perlawanan, pemain beraksi baik pada separuh masa pertama tetapi mereka hilang rentak permainan apabila masuk separuh masa kedua sehingga bolos empat atau lima gol.
“Perkara ini bukan sekali atau dua kali berlaku tetapi beberapa perlawanan. Itu yang menimbulkan persoalan,” katanya.
Zahrain tidak mahu menuduh ada unsur menjual permainan melibatkan pasukan Pulau Pinang tetapi prestasi pemain menyebabkan orang ramai mempunyai persepsi sedemikian.
Menurutnya, masalah gaji tertunggak bukanlah isu utama yang menyebabkan mereka bermain dengan tidak konsisten kerana FAP sudah melunaskan kepada semua pemain.
“Kebanyakan pemain kita adalah profesional dan kita akan siasat punca sebenarnya masalah ini berlaku.
“Jika ada pemain yang tidak menunjukkan sebarang perubahan, kita akan beri surat amaran dan selepas tiga kali, kita akan singkirkannya dari pasukan.
“Disiplin pemain mesti ditingkatkan untuk mengembalikan sokongan penyokong. Saya tahu ramai yang kecewa dengan aksi pemain.
Sebagai presiden saya pun malu. Saya hanya mampu minta maaf dan akan berusaha memantapkan kembali pasukan Pulau Pinang,” katanya.
No comments:
Post a Comment