Tuesday, March 1, 2011

Kim Swee rasa lega

KETIKA perit mengharungi jadual liga padat yang membuatkan Ong Kim Swee tidak senang duduk memikirkan strategi terbaik bagi mengelak anak buahnya dihimpit masalah kepenatan dan kecederaan, jurulatih Harimau Muda A itu sekurang-kurangnya masih boleh menarik nafas lega.
Ini berikutan kehadiran semula dua penyerang utama, Izzaq Faris Ramlan dan Syahrul Azwari Ibrahim bersama skuad yang sedang melakukan persiapan rapi menjelang aksi kedua pusingan kelayakan Sukan Olimpik London 2012 menentang Pakistan di Lahore 9 Mac ini.

Penyerang tinggi lampai, Izzaq kembali menjalani latihan buat pertama kali selepas hampir tiga minggu berehat akibat kecederaan hamstring manakala Syahrul Azwari yang sudah sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut pula menyertai skuad itu ke Ipoh bagi perlawanan Liga Super bertemu Perak, malam ini.


Kedua-dua pemain tonggak itu tidak beraksi ketika skuad Olimpik negara mengalahkan Pakistan 2-0 pada aksi pertama di Stadium Shah Alam.

Izzaq, 21, akan berusaha merebut tempat dalam skuad itu kerana tidak sanggup sekali lagi melalui pengalaman menyeksakan menjadi penonton sebelum ini.


“Saya cedera ketika berlatih bersama skuad senior. Kecederaan ini yang paling teruk saya alami setakat ini, memang kecewa tak dapat bermain menentang Pakistan.


“Selepas tiga minggu, ini hari pertama saya turun berlatih. Walaupun masih ada rasa sakit lagi dan cuma menjalani latihan ringan, saya harap sempat sembuh sebelum ke Lahore. “Sekarang, apa yang saya perlu lakukan adalah meningkatkan tahap kecergasan selepas lama berehat,” katanya yang ditemui Arena Metro semalam selepas selesai menjalani latihan bersama tujuh lagi pemain yang tidak bersama skuad ke Ipoh.

Malang menimpa buat Izzaq musim ini apabila hanya sempat beraksi sekali dalam lima perlawanan Liga Super apabila turun selaku pemain gantian ketika menentang Pahang namun masih mampu meledak dua gol.



Kehadiran Izzaq dan Syahrul Azwari pastinya memberi pilihan baru buat Kim Swee selepas kegagalan barisan penyerang menerusi gandingan pemain luar, Ahmad Fakri Saarani (Negeri Sembilan) dan Ahmad Shakir Ali (Kedah) menyumbang gol pada perlawanan dengan Pakistan.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...