TIADA apa yang memeranjatkan melihat skuad Harimau Muda A kecundang kepada Johor 2-1 dalam saingan pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Tanpa mahu mengambil risiko kecederaan kepada pemain tonggak, jurulatih, Ong Kim Swee membariskan hampir majoriti pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika digamit misi lebih mencabar menentang Pakistan dalam kelayakan Olimpik di Lahore 9 Mac ini.
“Saya terpaksa membuat congakan dalam situasi seperti ini. Saya mahu pemain skuad kebangsaan berehat dan memberi pemain dari SSBJ peluang beraksi mencari pendedahan,” katanya yang bagaimana menganggap Johor bermain baik menyaingi mereka.
Pelawat di bawah bimbingan Azmi Mohamed menghasilkan gol pertama melalui Jasazrin Jamaluddiin pada minit ke-11 yang seterusnya membuat Harimau Muda tersentak dan mulai bangkit mengatur serangan.
Selepas rehat, Norhamizarif Hamid mengubati duka Harimau Muda pada minit ke-61 apabila tandukannya tepat menerjah masuk ke dalam gawang Johor.
Namun, detik ceria itu tidak bertahan lama apabila enam minit selepas itu pasukan Johor menerima sepakan penalti menjaringkan gol kedua menerusi ketua pasukan, Norizam Salaman.
Johor yang dilihat banyak melakukan serangan, nyaris membutirkan gol ketiga apabila rembatan kencang Zulindra Shah Putra Adam daripada arah kiri gawang gol terkena palang pada minit ke 82.
sumber:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/HarimauMudagagalmengaum/Article
PEMAIN Harimau Muda A, Muhd Rafiuddin Roddin (kiri) berebut bola dengan pemain Johor, Mohd Azuwad Md Arip pada aksi pusingan kedua Piala FA di Stadium Shah Alam, malam tadi. |
No comments:
Post a Comment