KUALA LUMPUR -- Johor FC cuma mampu seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur di Stadium JC0rp, Pasir Gudang untuk melonjak ke tangga ke-11 carta persaingan Liga Super 2011, semalam.
Anak buah Azuan Zain ini gagal memanfaatkan banyak peluang keemasan malah terpaksa mengeluarkan perancang utamanya, Eddy Helmi Manan kerana kecederaan pada babak pertama.
Namun Kuala Lumpur nyaris mengejutkan tuan rumah jika tandukan kencang Norismaidham Ismail tidak terkena palang hasil hantaran lambung Farid Ramli dalam babak kedua.
Sementara itu, PKNS turut terikat 0-0 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Petaling Jaya namun kekal menerajui carta persaingan Liga Perdana 2011.
Kelab Selangor bimbingan Abdul Rahman Ibrahim itu kini mengumpul 16 mata dan kekal dibezakan dengan empat mata daripada ATM di tempat kedua, 12 mata.
Kelab USM pula memintas Sarawak untuk menduduki tempat ketiga dengan menundukkan Johor 2-1 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru.
Kemenangan itu membolehkan kelab dari Pulau Pinang itu memungut 12 mata dan mengatasi Sarawak yang kekal dengan 10 mata setelah dikejutkan Sime Darby 0-2 di Stadium Sarawak, Kuching.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut memperbaiki kedudukan mereka dengan mengekori dan mengikat Sarawak, 10 mata setelah menundukkan Pulau Pinang 2-0 di Stadium Negeri, Batu Kawan.
No comments:
Post a Comment