KOTA BHARU - Pendahulu Liga Super, Kelantan dijangka berdepan ujian getir apabila melayan kunjungan Negeri Sembilan pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammed IV, hari ini.
Meskipun beraksi di laman sendiri, pengendali Red Warriors, Datuk M. Karathu, berkata, perlawanan hari ini adalah tugas sukar, kerana pasukan lawan menewaskan Sabah 1-0, Sabtu lalu.
Menurutnya, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik untuk memastikan tiga mata menjadi miliknya hari ini.
"Saya akan menurunkan barisan terbaik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan, termasuklah Zairul Fitree (Ishak) dan S.Chanturu, yang sudah pulih selepas cedera pada perlawanan menentang Kedah tempoh hari.
"Di bahagian serangan, saya akan mempertaruhkan kombinasi Ramzul (Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan (Talaha).
"Mereka mempunyai kepantasan yang baik untuk merobek gawang Negeri Sembilan," katanya ketika di hubungi di sini semalam.
Mengulas mengenai perlawanan hari ini, Karathu tetap berwaspada dan menghormati kemampuan lawan yang bakal dihadapinya.
"Mereka sebuah pasukan yang hebat. Jentera hadapan yang mereka miliki cukup efektif dengan kombinasi empat rangkaian utama iaitu Zaquan (Adha), Ahmad Fakhri (Shaarani), Hairuddin (Omar) dan Kuna (S.Kunanlan).
"Saya mahu semua pemain pertahanan bersedia dan memberikan fokus sebaik mungkin dalam perlawanan tersebut," ujarnya.
No comments:
Post a Comment