KUALA LUMPUR - Menyedari laluan Malaysia ke pusingan kedua kelayakan Olimpik masih belum terjamin, Ong Kim Swee membayangkan akan melakukan sedikit rombakan bagi menghadapi cabaran Pakistan di Lahore, 9 Mac depan.
Pengendali Harimau Muda A dan skuad Olimpik Malaysia itu berkata, dia akan membawa masuk sekurang-kurangnya dua atau tiga pemain baru.
''Saya tidak boleh memberitahu nama pemain yang saya akan pilih kerana mahu menunggu saat akhir, iaitu selepas perlawanan liga selesai.
''Banyak faktor perlu diambil kira kerana bimbang mengenai tahap kecederaan pemain. Mungkin pada 6 Mac baru saya akan senaraikan 18 pemain yang akan dibawa ke Pakistan. Apa yang pasti memang akan ada pertukaran pemain, " katanya yang dihubungi, semalam.
Skuad Olimpik akan berdepan Perak pada perlawanan malam ini di Stadium Perak, Ipoh dalam aksi Liga Super sebelum bertemu Johor di pusingan kedua Piala FA, Khamis ini.
Bagaimanapun, khidmat Mohd. Fadhli Shas dan Mohd. Irfan Fazail tidak dapat dibawa ke Ipoh, ekoran cedera dan akan direhatkan.
Sementara itu, Kim Swee membayangkan skuad Olimpik sudah pasti terlepas khidmat penyerang tinggi lampai, Izzaq Faris Ramlan ekoran kecederaan hamstring yang masih belum sembuh.
''Ini mungkin membuatkan saya mengekalkan gandingan Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Ali di bahagian depan," ujarnya.
Biarpun peminat kurang berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkan Fakri dan Shakir yang terlepas banyak peluang ketika perlawanan pertama di Stadium Shah Alam, Kim Swee tetap menganggap mereka gandingan terbaik negara.
''Jangan terlalu cepat menghukum, peminat harus faham bahawa Shakir jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama Kedah. Kali terakhir dia beraksi di perlawanan antarabangsa ialah lapan bulan lalu.
''Sementara Fakri pula baru pulih daripada kecederaan, sebagai jurulatih saya tahu mereka sebenarnya boleh berikan yang lebih baik dan saya harap mereka akan pamerkan peningkatan di sana, " ujarnya.
Kim Swee yang juga bekas pemain 'Projek Olimpik Barcelona 1992' di bawah asuhan Chow Kwai Lam, tidak gusar dengan kritikan bahawa skuadnya tiada pemain perancang yang benar-benar berkesan.
''Sebenarnya kami ada tiga perancang yang boleh diharapkan iaitu K. Gurusamy, Irfan Fazail dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria. Mereka agak sedikit ghairah memandangkan ini antara tugasan pertama mereka di peringkat antarabangsa.
''Mereka masih muda seperti Irfan dan Wan Zaharul berumur 20 tahun, masih belum berpengalaman. Masa akan mematangkan mereka menjadi pemain yang bagus, " jelasnya.
No comments:
Post a Comment