Sunday, March 13, 2011

Rekod megah Kelantan berakhir

Selangor, Felda United kini berkongsi 14 mata dengan Red Warriors 

REKOD megah Kelantan tanpa kalah berakhir, malam tadi apabila tewas kepada pasukan tetangga, Pahang dan terpaksa berkongsi kedudukan selaku pendahulu Liga Super bersama Selangor dan Felda United yang masing-masing pulang dengan mata penuh.

Sambil itu, percaturan Kedah membawa masuk Radhi Mat Din selaku jurulatih baru membawa impak serta merta apabila tuan rumah yang menurunkan ramai pemain kebangsaan berjaya mengatasi Terengganu 2-1 di Stadium Darulaman.


Radhi yang masuk menggantikan Ahmad Yusoff yang direhatkan pengurusan atas desakan peminat, menyaksikan anak buahnya terpaksa bangkit daripada ketinggalan jaringan oleh pelawat, Reeshafiq Alwi pada minit ke-30 sebelum Khyrill Muhymeen Zambri (m-63) dan Firdaus Fauzhi (m-67) menyelamatkan maruah Hijau Kuning. 

Di Stadium Darulmakmur, Pahang menghadiahkan kekalahan pertama buat Kelantan musim ini apabila membenam pendahulu liga itu 2-0 hasil jaringan R Surendran (m-43) dan Mohd Faizol Hussin (m-90). 

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kapten Mohd Amri Yahyah dan Safiq Rahim mencipta kebangkitan 2-1 ke atas Negeri Sembilan. 

Ketua pasukan skuad kebangsaan, Safiq Rahim mengumpan cantik untuk Amri menolak masuk pada minit ke-61 untuk menafikan gol pembukaan menerusi penalti Shahurain Abu Samah pada minit ke-11. Safiq kemudiannya menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-79. 
Di Stadium Utama Negeri, Kangar, Felda United menafikan permulaan yang diimpikan jurulatih baru, Salim Tofel dengan Perlis terus dirundung kekecewaan apabila kecundang 2-0. 

Salim yang menggantikan Moshtakeen Omar yang meletak jawatan, gagal menyuntik inspirasi buat anak buahnya yang terpaksa akur kepada jaringan pembukaan Zamri Chin minit ke-40 disusuli gol kedua Farderin Kadir pada minit ke-56. 

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team seri 0-0 ketika menentang Perak. 



PEMAIN Negeri Sembilan, Hairudin Omar  (dua dari kiri) menanduk bola sambil cuba dihalang pemain Selangor, Razman Roslan (kanan) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.
PEMAIN Negeri Sembilan, Hairudin Omar (dua dari kiri) menanduk bola sambil cuba dihalang pemain Selangor, Razman Roslan (kanan) dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam tadi.


sumber:

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...