DOLLAH (dua dari kanan) mengucapkan tahniah kepada anak-anak buahnya selepas kemenangan ke atas Kelantan pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam kelmarin. |
PERSIAPAN rapi sebelum menentang Kelantan malam kelmarin ternyata membuahkan hasil apabila Pahang berjaya mencalar rekod tanpa kalah skuad The Red Warriors itu pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, strategi ‘merantai’ pergerakan penyerang berbisa Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha turut menyumbang kepada kejayaan skuad Tok Gajah yang menceriakan penyokong sendiri hasil kemenangan bergaya 2-0.
“Kita telah buat persediaan selama seminggu untuk memastikan kita berupaya untuk mengalahkan Kelantan yang sedang mendahului Liga Super.
“Daripada aspek perancangan pula, pemain telah berusaha mengikat Norshahrul habis-habisan dan ia dilihat menjadi apabila para pemain Kelantan buntu serta tidak mampu untuk menyerlah,” kata Dollah kepada Kosmo! semalam.
Mengulas lanjut, Dollah berkata, barisan pemain Pahang bermain secara berhati-hati pada babak kedua berbanding pada separuh masa pertama.
“Apabila kita sudah mendahului 1-0 menerusi R. Surendran, pemain mungkin takut gawang kita akan dibolosi sehingga menyebabkan mereka lebih berhati-hati dan bertahan di babak kedua.
“Dalam waspada itu, kita bagaimanapun berjaya menambah jaringan menerusi Mohd. Faizol Hussin menerusi satu serangan balas,” katanya.
Dollah juga tidak menafikan kemenangan yang diraih ke atas Kelantan itu telah meningkatkan moral keseluruhan barisan pemainnya.
“Nampaknya, hasil yang diperoleh oleh Pahang amat berbaloi. Moral kami kini boleh dikatakan meningkat mendadak.
“Saya sudah lihat kebangkitan Pahang pada dua tiga perlawanan sebelum ini dan saya percaya kita boleh meneruskan kemaraan jika pemain memiliki semangat juang yang konsisten,” katanya.
No comments:
Post a Comment