SEBAHAGIAN penyokong Kedah memegang kain rentang yang mendesak Khazali meletakkan jawatan sebagai pengurus Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar kelmarin. |
BIARPUN Kedah mencapai kemenangan 2-1 ke atas Terengganu pada aksi Liga Super malam kelmarin, namun masih ada lagi segelintir peminat yang masih tidak berpuas hati.
Ini kerana, mereka mendesak agar pengurus pasukan, Datuk Khazali Din mengundur diri selepas ketua jurulatih, Ahmad Yusof direhatkan oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) berikutan prestasi hambar skuad Hijau Kuning itu.
Kira-kira 100 penyokong Kedah berkumpul selama 10 minit di pekarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar selepas tamat perlawanan itu sambil membawa kain rentang tertulis 'tak mau Datuk Khazali'.
Terdahulu, Khazali mahu melepaskan jawatannya tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana beliau merupakan penjawat awam yang perlu menurut perintah majikannya iaitu kerajaan negeri Kedah.
Bagi penolong jurulatih Kedah, Radhi Mat Din yang diberi tanggungjawab mengambil alih tugas Ahmad, lebih cenderung mengulas mengenai kemenangan anak-anak buahnya malam kelmarin.
"Kemenangan ini penting untuk menaikkan moral pemain bagi mengharungi banyak lagi perlawanan dalam saingan Liga Super selepas ini.
"Kejayaan ini juga adalah hadiah untuk ketua jurulatih (Ahmad) yang sanggup mengorbankan diri (bercuti) untuk pasukan," kata Radhi kepada pemberita.
Dalam perlawanan itu, Kedah terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan Terengganu oleh Reeshafiq Alwi pada minit ke-30 yang membuat sepakan kencang dari luar kotak penalti.
Kedah bangkit pada babak kedua dengan menghasilkan dua gol menerusi Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-63 dan disusuli pemain gantian yang juga bekas pemain Terengganu, Mohd. Firdaus Faudzi tiga minit kemudian.
Radhi berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan oleh para pemainnya pada perlawanan akan datang.
"Kemenangan ini bukanlah satu kejutan kerana Kedah dibarisi pemain kebangsaan yang berkaliber cuma sebelum ini mereka tidak mendapat rentak terbaik ini," katanya.
Jelas Radhi, sebelum perlawanan bermula, dia telah menasihatkan pemain supaya tidak tertekan tetapi fokus kepada permainan serta mempamerkan aksi terbaik.
"Syukur kemenangan memihak kepada Kedah. Masalah pemain sebelum ini kerana mereka tertekan dengan penyokong tetapi kali ini, mereka dapat menyerapnya dengan baik dan memberi persembahan yang terbaik," katanya.
Bagaimanapun, Radhi berkata, barisan pemainnya tidak harus cepat berpuas hati dengan kemenangan itu kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.
No comments:
Post a Comment