KEBANGKITAN Selangor untuk mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan di dalam saingan Liga Super kelmarin nyata menggembirakan pengendalinya, K Devan.
Kejayaan meraih tiga mata hasil jaringan separuh masa kedua Mohd Amri Yahyah dan Mohd Safiq Rahim itu membawa Selangor kembali di landasan yang betul bagi mempertahankan kejuaraan Liga Super dengan mengumpul 14 mata untuk berada di tempat ketiga, dibezakan dengan jumlah jaringan berbanding Kelantan dan Felda United.
Bagi Devan yang juga pengurus pasukan, kemenangan itu menunjukkan mereka semakin mencapai keserasian selepas kehilangan penyerang utama, Mohd Safee Sali yang berhijrah ke Indonesia baru-baru ini.
“Mereka masih belum mencapai tahap terbaik namun terdapat peningkatan dari setiap perlawanan. Kami sedang di dalam proses menyesuaikan keadaan terutamanya dari segi perubahan taktikal kerana persiapan yang dilakukan sebelum ini adalah dengan kehadiran Mohd Safee.
“Apa pun ini adalah kemenangan yang baik dan saya mahu prestasi ini diteruskan pada saingan suku akhir Piala FA menentang Johor esok di Stadium Shah Alam,” katanya semalam.
Devan berkata beliau sudah meninjau kekuatan Johor ketika pasukan daripada Liga Perdana itu ketika menentang Harimau Muda A pada pusingan kedua dan ternyata skuad dari selatan tanah air itu tidak boleh dipandang rendah.
“Pemain perlu memberikan aksi yang terbaik kerana ini adalah peluang terbaik kami mencapai sasaran mara ke peringkat akhir,” katanya.
Selepas aksi di Stadium Shah Alam, Selangor akan berkunjung ke Larkin untuk perlawanan suku akhir kedua di tempat lawan pada Sabtu dan sekiranya berjaya ke peringkat separuh akhir, Kelantan atau Felda United akan menanti.
No comments:
Post a Comment