Monday, March 14, 2011
Surendran perkuat benteng Selangor
Devan harap anak didik bantu cabaran Piala FA, esok
TONGGAK pertahanan, D Surendran (gambar) bakal kembali menguatkan benteng Selangor menjelang pertemuan suku akhir pertama Piala FA menentang Johor di Stadium Shah Alam, esok selepas pemain itu disahkan pulih sepenuhnya daripada masalah hamstring.
Jurulatih Selangor, K Devan berkata, kehadiran semula Surendran yang kali terakhir beraksi pada perlawanan Liga Super menentang Terengganu 15 Februari lalu pasti satu kelegaan buat The Red Giants yang mahu memburu kemenangan selesa di gelanggang sendiri sebelum bertandang ke gelanggang lawan.
“Walaupun Johor beraksi dalam saingan Liga Perdana dan berkedudukan di tengah carta, kita tidak mahu memandang rendah keupayaan mereka dan akan beraksi seperti biasa,” katanya selepas kejayaan Selangor menewaskan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super, kelmarin.
Dalam perlawanan di Stadium Paroi itu, The Red Giants bangkit daripada ketinggalan satu gol pada babak pertama untuk mencatat kemenangan 2-1 hasil jaringan kapten pasukan, Mohd Amri Yahyah minit ke-61 dan Safiq Rahim minit ke-79.
Devan berkata, gol awal lawan hasil sepakan penalti pada minit ke-11 menyebabkan aksi anak buahnya tidak teratur dan fokus mereka terganggu pada babak pertama, sehingga memaksa dia menegur pemainnya pada masa rehat dan menukar strategi permainan di babak kedua.
Menerusi pertukaran strategi itu, Devan mengeluarkan penyerang, Mohd Fadzli Saari dan memasukkan Mohd Fitri Shazwan untuk beraksi di sebelah kiri menggantikan posisi Mohd Hardi Jaafar yang kembali beraksi di tengah sambil Safiq naik ke atas untuk bergandingan dengan Mohd Amri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment