SELEPAS mendapat ‘bye’ pusingan pertama, Negeri Sembilan memulakan cabaran dalam misi mempertahankan kejuaraan Piala FA musim lalu dengan turun menentang Kuala Lumpur, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam ini.
Namun, prestasi kurang konsisten dalam saingan Liga Super termasuk yang terbaru, tewas 0-3 kepada Kelantan, meresahkan pengendali skuad itu, Wan Jamak Wan Hassan yang bimbang jika situasi itu berterusan, misi mempertahankan trofi kejuaraan saingan kalah mati itu mungkin sukar.
Sehubungan itu, dia mengharapkan anak buahnya kembali mempamerkan persembahan cemerlang dan beraksi pada tahap sebenar bagi memburu kemenangan.
Menurut ketua jurulatih berpengalaman itu, kesilapan mudah dalam beberapa perlawanan lalu perlu dielak untuk meraih kemenangan.
“Saya harap prestasi kurang baik itu tidak berulang apabila berdepan Kuala Lumpur dan setiap pemain perlu memberikan persembahan terbaik dan jangan sesekali hilang fokus, terutama pada penghujung babak.
“Kami tidak boleh mensia-siakan kelebihan di gelanggang sendiri,” katanya. dan bijak menyambar peluang menjaringkan gol kerana kemenangan amat penting bagi mempertahankan kejuaraan,” katanya semalam.
Bekas pengendali kebangsaan dari Johor itu mengingatkan anak buahnya supaya menjadikan kekalahan kepada Kelantan sebagai pengajaran bagi mengelak cemuhan penyokong.
Mengenai barisan pemain yang akan diturunkan, Wan Jamak mengesahkan sebahagian besar pemain skuad itu cergas kecuali Irwan Fadly Idrus yang masih cedera manakala penyerang, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak belum boleh diturunkan dalam kesebelasan utama kecuali sebagai gantian.
“Justeru, Hairuddin Omar dan Ahmad Fakhri Saarani, masih menjadi sandaran utama di barisan depan dan saya harap mereka mampu membolosi gol lawan,” katanya.
No comments:
Post a Comment