Wednesday, January 11, 2012

Gergasi Merah bangkit


Harian Metro

DUA gol ledakan penyerang import Negeri Sembilan Jean-Emmanuel Effa Owona masih belum cukup membantu pasukannya melakar kemenangan apabila Selangor mencipta kebangkitan untuk mencatat keputusan seri 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam.


Effa Owona yang menjaringkan dua gol ketika Negeri Sembilan menewaskan Kelantan 2-1 untuk menjulang Piala Sultan Ahmad Shah Sabtu lalu terus menceriakan penyokong Hoben Jang Hoben dengan menanduk masuk gol pertama pada minit ke-4 selepas mendapat lambungan Rashid Mahmud.

Anak buah jurulatih Mohd Azraai Khor Abdullah terus meningkatkan tekanan sehingga membuatkan pertahanan Red Giants, Mohd Nasriq Baharom melakukan kekasaran menjatuhkan pemain sayap kanan, Shahurain Abu Samah dalam kotak penalti.




Sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil perlawanan, Syed Azhar Syed Kamar tenang disempurnakan pemain import dari Cameroon, Effa Owona untuk meletakkan skuad Rusa mendahului 2-0 pada minit ke-34.

Selangor yang dibimbing bekas jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim cuba bangkit mencari gol namun tandukan pemain pertahanan kebangsaan, Mohd Asraruddin Putra Omar sebelum babak pertama tamat tersasar di depan pintu gol.


Bersambung babak kedua, Selangor yang gagal mempertahankan kejuaraan Liga Super musim lalu bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan menerusi rembatan leret Amirulhadi Zainal ke sebelah kanan gawang gol menewaskan Mohd Farizal Marlias di minit ke-67.




Gol itu membakar semangat pasukan pelawat yang terus mengganas dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti Mohd Safiq Rahim pada minit ke-74 selepas Shahurain melanggar pemain gantian Selangor, Solihin Kanasian dalam kotak penalti.

Meskipun Negeri Sembilan dan Selangor berusaha keras memburu gol kemenangan namun keputusan kekal 2-2 sehingga wisel penamat dibunyikan untuk kedua-dua pasukan akur berkongsi satu mata.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...