Friday, January 6, 2012

NS mahu bermula cemerlang



SEREMBAN - Pemain Negeri Sembilan optimis untuk membuka tirai 2012 dengan mencipta kemenangan ke atas juara Liga Super musim lalu, Kelantan dalam Perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, esok.

Ketua pasukan Hoben Jang Hoben, Mohd. Shukor Adan berkata, dia dan rakan sepasukan tidak berhadapan dengan tekanan dan lebih selesa bergelar underdog dalam perlawanan esok.

''Kita telah bersedia untuk perlawanan tersebut dan kami juga membayangkan pertembungan esok bakal menjadi satu perlawanan yang menarik.

"Walaupun untuk tahun ini mata perlawanan Piala Sumbangsih tidak lagi dikira dalam Liga Super, tetapi pulang dengan kejayaan akan memberi suntikan moral buat pasukan.

"Sudah tentu kami mahu menang. Ini akan dapat membakar semangat pasukan, lebih-lebih lagi apabila menang dalam perlawanan pembukaan liga musim ini," katanya di sini semalam.

Jelas pemain senior itu, meskipun musim ini skuad Hoben Jang Hoben dibarisi pemain muda, berdepan Kelantan, yang dilihat sebagai pasukan pilihan bukan tekanan.

Ini kerana, katanya berdasarkan rekod pertemuan pada aksi final Piala Malaysia sebelum ini secara amnya seimbang.

Berdasarkan rekod Piala Malaysia, pada 2009 Negeri Sembilan muncul juara mengalahkan Kelantan sebelum gergasi Pantai Timur itu menjadi juara menumpas Negeri Sembilan pada edisi 2010.

"Rekod pertembungan juga membuktikan kekuatan kedua-dua pasukan ini seimbang, Saya yakin perasaan gugup di kalangan pemain juga tiada kerana ramai pemain sudah ada pengalaman.

"Walaupun beberapa tonggak dalam pasukan ini seperti pasangan kembar Aidil dan Zaquan, Hairudin Omar serta Irwan Fadli yang berhijrah ke pasukan baru ia bukan tekanan buat kami.

"Malah prestasi pasukan kini menunjukkan peningkatan kerana kita sudah ada penyudah berbisa," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...