Mohan Singh menunjukkan suar dan bom asap yang dirampas daripada penonton yang menyaksikan Perlawanan Sumbangsih di antara Kelantan dan Negeri Sembilan di Stadium Nasioanal Bukit Jalil, kelmarin. |
KUALA LUMPUR - Entah sampai bila peminat-peminat bola sepak akan menghentikan perbuatan tidak bertamadun seperti membakar mercun dan membaling botol sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium.
Di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin sekali lagi menjadi saksi kepada insiden memalukan angkara sikap keterlaluan segelintir penyokong yang terus melakukan perkara sedemikian padahal mereka tahu ia salah.
Mujur kehadiran pihak polis berjaya mengawal keadaan, biarpun tidak secara keseluruhan tetapi setidak-tidaknya memastikan ia berada pada tahap minimum.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komsioner Mohan Singh Tara Singh berkata, sebanyak 26 tangkapan dilakukan atas pelbagai kesalahan termasuk cuba menyeludup masuk bahan letupan, senjata tajam dan dadah.
Katanya, daripada tangkapan itu, polis turut merampas 56 batang nyalaan api suar, sebutir bom asap, mercun, pisau dan sebungkus ganja.
"Polis telah melakukan pemeriksaan di pintu masuk seawal pukul 2 petang dan turut giat memantau ketika perlawanan sedang berlangsung.
"Hasilnya, 26 lelaki berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 berjaya kami tahan.
"Ini termasuk sekumpulan 22 penyokong yang dikesan polis mengangkat kain rentang yang besar dalam keadaan mencurigakan, rupa-rupanya apabila diperiksa menemui 12 batang 'flare' dan satu peket ganja di dalamnya," katanya pada sidang akhbar semalam.
Mohan Singh mengakui adalah mustahil untuk pihaknya memastikan seratus peratus tiada barangan larangan dibawa masuk.
"Jumlah penonton mencecah puluhan ribu, kami hanya boleh mencuba mencegah sebanyak mungkin.
"Apa yang lebih penting sebenarnya penyokong-penyokong sendiri memiliki kesedaran terhadap masalah ini.
"Tujuan berkunjung ke stadium adalah bagi menikmati perlawanan bola sepak, kenapa harus dilakukan perbuatan yang boleh mendatangkan bahaya penonton lain?"," tegasnya.
Tempat media bertugas juga tidak terlepas daripada menjadi sasaran apabila beberapa kali botol dibaling dari tempat duduk penonton di yang terletak di tingkat atas.
No comments:
Post a Comment