Tuesday, January 10, 2012

ATM tak cukup garang, Perlis dibelasah


Pemain ATM, Bruno Marteloto (tengah) dihalang pemain NS Betaria, L. Rajesh dalam aksi Liga Perdana di Stadium MBPJ, semalam. - UTUSAN/Abdul Nazir Mohamed

KUALA LUMPUR - Barisan bintang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menepati ramalan dengan kemenangan pembuka tirai bola sepak Liga Perdana 2012 ke atas NS Betaria 2-0 tetapi Majlis Perbandaran Muar (MPM) yang lebih meraih tumpuan apabila membelasah Perlis 7-2, semalam.

Dua jaringan wira import dari St. Vincent and Grenadines, Marlon Alex James pada minit kedua dan 22 di Stadium Petaling Jaya, tidak memadai untuk menyekat pesta gol di Stadium Sultan Ibrahim, Muar yang turut membawa tuan rumah sebagai peneraju sulung persaingan musim ini.

Malah Mohd. Alafi Mahmud memastikan namanya mendahului senarai penjaring terbanyak Liga Perdana dengan empat gol buat MPM ke atas Perlis, pasukan Liga Super 2011 pada minit ke-24, 52, 56 dan 79 selain dua jaringan Khairul Anwar Shaharudin (9 dan 87) serta Azuwad Arip (80).

Sime Darby dan Universiti Sains Malaysia (USM) pula masing-masing menewaskan skuad bawah 19 tahun negara, Harimau Muda B dan Pos Malaysia 2-1 malah tiga mata itu meletakkan mereka berkongsi tempat ketiga Liga Perdana.

Gol Sime Darby dijaringkan Rosli Muda dan Zamri Hassan pada minit ke-27 dan 65 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang manakala tuan rumah di Stadium Olahraga USM, Pulau Pinang beroleh gol menerusi Afzan Zainal Abidin dan Elias Sulaiman selain dibalas pemain lawan, Sani Nawi.

Jaringan tunggal Hafiz Kamal ketika perlawanan cuma tinggal empat minit, cukup melegakan bekas pasukan Liga Super, Pahang dengan tiga mata untuk mengatasi Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Johor pula dipaksa berpuas hati dengan satu mata oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) setelah jaringan pendahuluan tandukan Esseh N'sougan Adah, minit ke-54 disamakan Norzie Ibrahim yang mengutip sepakan penalti yang ditepis minit ke-71 di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...