Tuesday, January 10, 2012

Satu piala misi wajib Selangor musim ini


Abdul Mokhtar Ahmad (lima dari kiri) bersama pegawai dan pemain Selangor yang akan memikul cabaran dalam Liga Malaysia musim ini. Terdahulu kesemua pemain diperkenalkan dalam satu majlis ringkas di Shah, Alam, semalam.

SHAH ALAM - Sekurang-kurangnya satu piala mesti dimenangi Selangor pada Liga Malaysia musim ini dan anak buah Irfan Bakti Abu Salim itu diingatkan bahawa tiada alasan lagi boleh diterima pihak pengurusan jika terus gagal melakukannya.

Ingatan tegas tetapi wajar itu disuarakan oleh pengurus pasukan Gergasi Merah, Datuk Abdul Mokhtar Ahmad memandangkan sudah berjuta-juta ringgit dilaburkan penaja untuk mereka, lantas ia perlu dibalas dengan kejayaan yang setimpal dan membanggakan.

Pada sidang akhbar bagi memperkenalkan pasukan di Padang SUK, semalam, katanya: "Tidak kira apa piala pun, sama ada Piala Malaysia atau Piala FA atau Liga Super kerana tahun lalu kami tidak dapat satu gelaran pun dan kami tidak boleh terus gagal lagi.

"(Pemain) mesti faham penaja sudah memberi berjuta ringgit bagi membiayai pengendalian pasukan jadi mereka tidak boleh menghampakan pelaburan mereka dan mesti memandangnya secara serius.''

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu bagaimanapun menegaskan bahawa pasukan ini tidak boleh sesekali terbawa-bawa dengan sindrom mudah selesa atau sudah cukup gagah hanya dengan berbekalkan reputasi silam Selangor selaku juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali.

"Banyak pasukan lain sudah bangkit tetapi saya cukup yakin kali ini kami memiliki formula kejayaan yang meliputi keberanian, dedikasi, semangat sepasukan, disiplin dan gandingan tonggak musim lalu dan muka baru serta tenaga yang masih muda di bawah 25 atau 26 tahun.

"Mulai musim ini, pemain Selangor juga wajar memasang cita-cita besar untuk bermain di luar negara, satu hari nanti seperti mana Safee Sali atau Safiq Rahim (bermain profesional di Pelita Jaya dalam Liga Super Indonesia dan dipanggil menjalani ujian di Cardiff City)," katanya.

Mohd. Amri Yahyah akan kembali mengetuai Merah Kuning dengan dibantu tonggak senior seperti P. Gunalan, Razman Roslan, Asraruddin Putra Omar, Nasriq Baharom, Safiq, Amirulhadi Zainal selain dua tenaga import, Ramez Jamal Dayoub dan Blaise Lelo Mbele.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...