Saturday, January 7, 2012

Jangan hanya fikir soal wang


TUNKU Ismail Sultan Ibrahim memberi kata-kata semangat kepada pemain skuad bola sepak Johor pada majlis Ramah Mesra Pemain di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam

JOHOR BAHRU - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengingatkan pemain skuad Johor agar tidak terlalu memikirkan soal kewangan sehingga menjejaskan prestasi pasukan sebaliknya terus memburu kemenangan pada saingan Liga Malaysia musim ini.

Menurutnya yang merupakan penaung Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), para pemain skuad Jengking harus memberikan komitmen yang padu setiap kali turun beraksi dan memberikan fokus untuk mencipta kemenangan pada setiap perlawanan.

"Soal kewangan biarkan pihak pengurusan yang uruskan, tugas para pemain adalah memastikan pasukan menang setiap perlawanan.

"Saya sendiri akan memberikan sokongan seratus peratus kepada pasukan ini dan berharap skuad dapat memberikan persembahan terbaik," titahnya pada Majlis Ramah Mesra bersama pemain dan pengurusan PBNJ di Hotel Thistle, semalam.

Tunku Ismail sebelum itu menyaksikan penyerahan tajaan berjumlah RM2.7 juta kepada pasukan berkenaan daripada Johor Corporation dan anak syarikatnya, Kulim (Malaysia) Bhd. (Kulim), Johor Land Berhad, KFC Holdings Bhd. (KFCH); EA Marine Services (RM200,000); Central Malaysian Properties Sd. Bhd. (RM50,000) serta Al-Ikhsan dan Lotto sebanyak RM250,000 dalam bentuk pakaian.

Turut hadir adalah Presiden PBNJ, Md. Jais Sarday; Timbalan Presidennya, Datuk Abdul Razak Hassan; Naib Presiden merangkap pengurus pasukan, Datuk Abdul Aziz Sapian serta jurulatih, K. Sukumaran dan pembantu, Wan Mustapha Wan Ismail.

Sementara itu, Md. Jais berkata, skuad Johor musim ini akan dibarisi 10 pemain senior, 14 pemain muda termasuk dua pemain import selepas melalui proses temu duga dan angkat sumpah sejak Oktober lalu.

Beliau menyasarkan untuk menempatkan pasukan itu dalam saingan Liga Super 2013 selain menanam azam untuk merebut sekurang-kurangnya salah satu piala antara Piala FA atau Piala Malaysia.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...