Saturday, January 7, 2012

Reds Warriors lebih fikir jumpa Lions XII


SKUAD Kelantan memilih menjalani latihan di padang rumput tiruan di MSN semalam dan bukannya di venue Perlawanan Sumbangsih hari ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Tanpa mata yang ditawarkan musim ini, perlawanan sumbangsih bola sepak Piala Sultan Ahmad Shah malam ini seperti sekadar pemanas badan pra-musim buat juara bertahan, Kelantan yang lebih memikirkan untuk mengharungi Lions XII dalam Liga Super, Selasa ini.

Semalam mereka tidak turun menjalani latihan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebaliknya memilih untuk beralih ke padang rumput tiruan Majlis Sukan Negara, yang terletak berhampiran dengan venue perlawanan malam ini semata-mata kerana 'kandang' Lions XII, Stadium Jalan Besar berkeadaan sebegitu.

Sesi latihan sejam di Stadium Nasional, petang semalam cuma menyaksikan kehadiran juara Piala Malaysia 2011, Negeri Sembilan yang diterajui Azraai Khor Abdullah yang mengidam satu-satunya trofi Liga-M kelolaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang belum pernah dikecapinya.

Kata jurulatih Wira Merah, Peter Butler: "Sebenarnya perancangan adalah bagi minggu depan iaitu melawan Singapura. Sebab itu kami tidak berlatih di stadium tetapi di Padang MSN. Namun malam esok (malam ini) tetap penting bagi menilai persediaan kami musim ini kerana kami tidak datang untuk seri atau kalah.

"Peluang menang tetap 50-50 dan saya fikir kedua-dua pasukan seimbang walaupun ramai orang kata kami pilihan. Negeri Sembilan sebuah pasukan juara Piala Malaysia yang bagus dan keadaan persediaan kami terjejas sedikit kerana cuaca hujan yang berterusan di Kota Bharu," katanya.

Kebelakangan ini Kelantan yang mempertahankan gelaran Super dan Piala Sultan Ahmad Shah yang dimenanginya tahun lalu dengan menewaskan Selangor 2-0, menjalani pra-musim dengan keadaan cuaca dan padang yang kurang memuaskan termasuk ketika Piala Muhibah dengan Persebaya di Surabaya dan Kota Bharu.

Kata pengurus pasukan, Azman Ibrahim: "Esok (malam ini) kali pertama kami bermain di padang yang bagus malah bertaraf antarabangsa dan kami harap kedua-dua pasukan mampu menunjukkan corak permainan menyerang dan persembahan terbaik."

Mengenai kemampuan dua tonggak import Kijang, kata Butler, hanya Denny Antwi yang didapati lebih bersedia dan sudah membuktikan kerja keras serta semangat sepasukannya berbanding Mohammed Ghaddar, yang mungkin memerlukan lebih banyak masa dan perlawanan sebenar untuk menyesuaikan diri.

Kata Azman, sekalipun cuma seorang pemain import yang mampu dipertaruhkan Negeri Sembilan berbanding dua milik Kelantan, mereka tetap wajar diawasi dengan kehadiran pemain lampai dari Cameroon, Jean-Emmanuel Effa Owona yang mampu menampilkan impak dalam perlawanan malam ini.

"Misi Kelantan tetap mahu mempertahankan piala ini walaupun tiada mata liga yang diberikan buat kali pertama dan kami berharap ia menjadi pembukaan tirai yang baik musim ini," katanya yang akan menurunkan Badri Radzi sebagai ketua pasukan Wira Merah malam ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...