TIADA alasan untuk Johor tercicir memburu slot ke saingan Liga Super 2013 selepas membuat persiapan rapi dengan mengadakan siri perlawanan pra musim di luar negara bagi menghadapi kancah Liga Perdana musim ini.
Selepas menyingkirkan jurulatih Azmi Mohamad, pengurusan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor mengambil langkah drastik melantik K Sukumaran membimbing skuad Jengking untuk musim ini dengan mempertaruh ramai muka baru.
Hanya tiga muka lama dikekalkan namun prestasi terumbang-ambing nyata mengundang persoalan kemampuan sebenar Johor yang pernah digeruni.
Apapun kata-kata Sukumaran betapa skuad itu masih dalam proses pembentukan agak janggal ketika pemain sedia ada seharusnya sudah bersedia dan bukannya menanti dua atau tiga tahun lagi untuk beraksi di liga elit domestik.
“Johor kini membentuk barisan pemain mantap dan saya sudah kenal pasti kesebelasan utama yang bakal turun pada aksi pertama menentang Polis di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Isnin ini.
“Perlawanan pra musim menentang Singapura Lions XII menyaksikan Johor menang 3-2 manakala aksi di Indonesia juga tidak mengecewakan. Selepas mengharungi tiga perlawanan, Johor seri 1-1 dengan Persib Maung Bandung, menang 2-0 ke atas Saint Prima dan tewas 1-3 kepada Mitra Kukar FC,” katanya.
No comments:
Post a Comment