KELUHAN pemain muda negara, Muhd Ariff Zulkifly yang berdepan dilema untuk menerima tawaran menjalani ujian percubaan dengan Akademi Bola Sepak Ole di New Zealand berikutan masalah kewangan mendapat perhatian pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor.
Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd Amin yang dimaklumkan mengenai perkara itu berkata, pihaknya bersedia mencari jalan membantu Ariff mendapatkan peruntukan RM14,000 yang diperlukan kapten skuad Piala Presiden bagi memulakan ujian di Akademi Ole, Mac ini.
Justeru beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ariff dalam tempoh terdekat untuk menilai tawaran yang diterima bekas kapten skuad Bawah 17 Tahun negara itu.
“Saya difahamkan Ariff menerima tawaran itu dua hari lalu dan jika tawaran itu menarik, kami sedia membantunya. Bagaimanapun saya perlu melihat dulu isi kandungan kontrak, sama ada benar ataupun tidak. Saya takut ada pihak yang cuba mengambil kesempatan ke atasnya.
“Saya akan memanggil Ariff untuk berbincang mengenai perkara ini bersama dengan pengurus (Datuk Mokhtar Ahmad) dan juga jurulatih (Irfan Bakti Abu Salim) secepat mungkin,” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Ariff yang baru saja bersama dengan Selangor selepas meninggalkan skuad Harimau Muda B bulan lalu kini berusaha mencari sumber kewangan bagi membolehkannya menjalani ujian percubaan sekurang-kurangnya enam minggu sehingga enam bulan di New Zealand.
Jika berjaya, pemain pertahanan tengah berusia 18 tahun itu akan ditawarkan kontrak untuk beraksi dengan kelab ataupun universiti yang mempunyai jalinan baik dengan Akademi Ole iaitu di New Zealand, Australia dan Amerika Syarikat.
Antara bekas pemain yang berjaya diketengahkan sebelum ini adalah, Cole Peverly (Hansa Rostock) Bundesliga, Jake Gleeson (Portland Timbers) MLS, Dan Keat (dalam perancangan LA Galaxy) MLS.
Sementara itu, Hamidin memaklumkan mengenai perubahan gelanggang perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah antara Kelantan dan Negeri Sembilan terpaksa ditukar dari Stadium Sultan Muhammed IV ke Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
“Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola hari ini (semalam) memutuskan supaya gelanggang perlawanan terpaksa ditukar selepas mendapat maklumat ramalan kaji cuaca bahawa hujan sepanjang minggu ini di Kota Bharu. Bagaimanapun waktu perlawanan (8.45 malam) dan harga tiket (RM30 tempat grandstand, RM15 terbuka) tidak berubah,” katanya.
Turut diumumkan adalah kebenaran pasukan Liga Super Terengganu, T-Team dan Sabah untuk beraksi pada sebelah malam apabila Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Stadium Likas melepasi tahap kecerahan lampu limpah hasil pemeriksaan FAM Sabtu lalu.
No comments:
Post a Comment