Thursday, January 5, 2012

Malaysia masih menanti jawapan Arab Saudi



PETALING JAYA - Malaysia masih menanti jawapan Arab Saudi berhubung perlawanan persahabatan antara pasukan Olimpik negara itu menentang skuad Harimau Muda yang kini dalam rangka persiapan bagi mengharungi tiga lagi baki perlawanan kelayakan Olimpik yang bermula Februari ini.

Jurulatih skuad Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, pihaknya masih lagi menanti jawapan daripada Arab Saudi dan keputusan tersebut dijangka dibuat selewat-lewatnya hujung minggu ini sama ada perlawanan persahabatan itu bakal direalisasikan atau pun tidak.

"Kita masih belum mendapat jawapan yang pasti lagi, tetapi jika ia berlaku perlawanan persahabatan ini akan dilangsungkan di Arab Saudi pada 31 Januari ini iaitu sebelum pertemuan menentang Bahrain pada 5 Februari," katanya.

Beliau menghadiri majlis pelancaran program bual bicara sukan bola sepak terbitan TV9, Kaki Bola di sini, semalam.

Hadir sama Pengurus Besar TV9, Sherina Nordin, Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman dan skuad Harimau Muda.

Menurut Kim Swee, pemilihan pasukan dari negara Asia Barat itu dilihat sebagai persiapan terbaik buat anak-anak buahnya berikutan dua skuad daripada lawan yang bakal ditentang pasukan kebangsaan iaitu Syria dan Bahrain datang dari rantau yang sama.

Jelasnya, corak permainan pasukan-pasukan Asia Barat mempunyai persamaan yang mana para pemainnya berpeluang memanfaatkan kesempatan pada perlawanan persahabatan untuk lebih memahami corak permainan mereka.

"Corak permainan pasukan daripada Asia Barat ini lebih kurang sama dan kebetulan jika perlawanan persahabatan dapat dijayakan, hanya selang beberapa hari selepas itu para pemain saya bakal berdepan Bahrain dan ini satu persediaan yang baik untuk mereka," ujarnya.

Bagaimanapun, sekiranya perlawanan persahabatan itu gagal dilaksanakan, beliau memberitahu, pihaknya perlu mencari pasukan pengganti bagi memastikan sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan dapat diadakan menjelang kelayakan Olimpik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...