Wednesday, January 4, 2012

Usah rosakkan imej pasukan


Harian Metro

PEMBABITAN pemain bola sepak dalam aktiviti menjual perlawanan yang pernah melanda pasukan negeri dan negara sebelum ini nyata memberi pengajaran besar buat Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).


Bagi memastikan reputasi saingan Liga M musim ini tidak terjejas serta imej pasukan dipertahankan, PBNS sudah mengambil langkah awal dengan memberi amaran kepada pengurusan skuad supaya tidak terbabit dalam kegiatan haram itu.

Menteri Besar merangkap Presiden PBNS, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan pegawai dan pemain supaya tidak membabitkan diri dengan gejala itu menjelang saingan pembuka tirai Liga M, menerusi perebutan Piala Sumbangsih antara Negeri Sembilan dengan Kelantan, di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.




Menurutnya, pembabitan dalam kegiatan haram itu bukan saja mengkhianati penyokong yang memberikan sokongan padu kepada pasukan, malah boleh meruntuhkan sukan bola sepak negara.

“Semua pegawai dan pemain sama ada senior mahupun junior perlu perbetulkan landasan masing-masing dengan memastikan tidak terbabit dalam gejala rasuah yang pernah melanda pasukan sebelum ini.


“Jaga maruah diri dan pasukan kerana kita (PBNS) tidak akan berkompromi terhadap sebarang kegiatan menjual perlawanan kerana tindakan itu disifatkan mengkhianati pasukan dan orang ramai yang memberikan sokongan kepada pasukan,” katanya.





Beliau memberikan amaran itu selepas Kongres Tahunan PBNS ke-81 dan memperkenalkan pemain Liga Super serta Piala Presiden. Turut hadir, Timbalan Presiden PBNS, Datuk Mat Ali Hassan.

Menurut Mohamad, tindakan PBNS dalam menangani masalah itu terserlah apabila melaporkan kepada pihak berkuasa terhadap kegiatan menjual perlawanan yang membabitkan pemain pasukan Piala Presiden negeri itu pada 2010.




“Saya harap pegawai dan pemain yang menggalas cabaran kali ini mengambil iktibar daripada kejadian itu dengan menjauhkan diri daripada kegiatan haram itu, sebaliknya memberikan tumpuan kepada usaha menjulang nama pasukan. Jangan sesekali musnahkan harapan peminat yang sentiasa mengharapkan kejayaan pasukan,” katanya.



Mengulas perlawanan menentang Kelantan, Sabtu ini, beliau yakin skuad bimbingan Mohd Azraai Khor Abdullah, mampu melakar kemenangan walaupun mempertaruhkan sebahagian besarnya pemain muda.

“Saya yakin Negeri Sembilan boleh menewaskan Kelantan sekiranya setiap pemain berusaha mempamerkan persembahan mantap seperti dirancang selain bijak menyerap tekanan,” katanya.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...