Thursday, January 5, 2012

Prestasi musim lalu jadi sandaran Terengganu buru dua piala


Mat Zan Mat Aris (tiga dari kiri) menyerahkan dokumen kontrak kepada Che Mat Jusoh pada majlis menandatangani kontrak pemain dan penajaan pasukan Terengganu dan T-Team di Kuala Terengganu, semalam. - utusan/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU - Berbekalkan prestasi membanggakan musim lalu dan kemantapan pasukan yang dibentuk semula, Terengganu berazam untuk merangkul dua kejuaraan musim 2012.

Pengendali skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris yang diberi kepercayaan menggalas harapan tinggi penyokong Terengganu yakin peluang merangkul juara Liga Super dan Piala Malaysia mampu dicapai.

Mat Zan bersandarkan keserasian dan peningkatan tahap permainan yang ditunjukkan anak-anak buahnya dalam beberapa perlawanan persahabatan yang lalu.

"Dengan barisan 24 pemain yang kita ada sekarang, saya boleh katakan kebolehan yang mereka ada hampir sama dan boleh menggalas tugas yang diberikan dengan baik.

"Saya juga telah dapat bayangan untuk kesebelasan utama yang bakal diturunkan nanti," katanya selepas majlis menandatangani kontrak bersama pemain dan penaja pasukan untuk musim baru, kelmarin.

Pada majlis tersebut, skuad Penyu menerima tajaan pengeluar pakaian sukan Specs berjumlah RM300,000, syarikat teknologi maklumat tempatan, Top IT Sdn Bhd (RM250,000), Syarikat Tiara Pesona Sdn. Bhd. dan Zaid Enterprise, dengan masing-masing RM50,000.

Tambah beliau, kehadiran dua pemain import iaitu Francis Forkey dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnietto (Brazil) juga diharap mampu memperkukuhkan jentera pasukan.

"Kedua-dua pemain ini gembira bermain dengan pasukan kita kerana corak permainan yang hampir sama dengan pasukan mereka sebelum ini.

"Justeru, saya harap mereka yang begitu mudah serasi bersama skuad negeri dapat membantu para pemain tempatan dalam meningkatkan mutu permainan," ujar beliau.

Selain mengekalkan kebanyakan pemain utama musim lalu, skuad Terengganu juga diperkuatkan dengan kehadiran beberapa tonggak baru termasuklah anggota skuad Harimau Muda iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Mohd Faizal Mohamad dan Abdul Shukur Jusoh, Hariri Mohd. Safii (Sabah) dan Shamsul Kamal Mohamad (T-Team).

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...