TERENGGANU menarik nafas lega apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melanjutkan tempoh pendaftaran pemain import sehingga 9 Januari ini kepada pasukan itu bagi membolehkan finalis Piala Malaysia tahun lalu itu mendaftar empat awang import pilihannya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh, berkata surat pekeliling yang dikeluarkan FAM itu membolehkan skuad Penyu menggunakan tenaga import bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 10 Januari ini dan Piala AFC yang bermula Mac.
“Setakat ini Terengganu mempunyai dua pemain import dan sedang mencari dua lagi pemain bagi memantapkan pasukan dan sekiranya memuaskan, kita akan gunakan khidmat mereka untuk Piala AFC juga,” katanya pada majlis menandatangani kontrak pemain dan penaja Liga Super 2012 Terengganu dan T-Team di Hotel Primula, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Che Mat berkata, dalam saingan Piala AFC yang membabitkan kelab dari Singapura, Vietnam dan Hong Kong, tiga pemain import dibenarkan beraksi dan sasaran skuad kendalian Mat Zan Mat Aris adalah melepasi pusingan pertama.
Dalam pada itu, walaupun masalah lampu limpah yang tidak mencapai tahap piawaian saingan Piala AFC masih belum selesai, Terengganu tetap bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) pada waktu siang.
“Kita tidak bercadang mengadakan perlawanan Piala AFC di luar negeri ini kerana peminat mahu menyaksikan perlawanan peringkat antarabangsa itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment