Thursday, January 5, 2012

TM tak lupa RM1 juta


Harian Metro

TELEKOM Malaysia (TM) tidak pernah mungkir janji sebaliknya memberi jaminan peruntukan insentif RM1 juta kepada skuad Bawah 23 Tahun negara yang menjuarai ‘ibu emas’ Sukan Sea Indonesia, November lalu itu hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).


Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Pemasaran TM, Datuk Rozalila Abdul Rahman yang menjelaskan pihaknya perlu mengadakan rundingan terlebih dulu kerana FAM masih belum memaklumkan sama ada skuad kendalian Ong Kim Swee itu wajar menerima habuan berdasarkan perjanjian sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, 8 Julai lalu.

“Sama ada skuad bawah 23 tahun negara yang menjuarai pingat emas di Sukan Sea Indonesia baru-baru ini layak menerima insentif RM1 juta itu terpulang kepada keputusan FAM.



 “FAM perlu memaklumkan sama ada peruntukan insentif TM itu hanyalah untuk skuad Harimau Malaya bagi kejohanan Piala Suzuki AFF ataupun ia turut membabitkan Sukan Sea.



“Kini kami masih menunggu FAM untuk mengadakan perbincangan bersama kami bagi memutuskan perkara ini,” katanya yang ditemui Arena Metro selepas merasmikan program bual bicara bola sepak, Kaki Bola yang mula bersiaran di TV9 setiap Isnin jam 9.30 malam.

Sebelum ini, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad pernah memberi kenyataan jumlah sebenar insentif itu akan diketahui selepas mesyuarat Jawatankuasa Kewangan FAM, 9 Disember lalu, namun hingga kini belum ada kata putus.


Bagi Rozalila, TM yang menjadi Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan menghargai jerit perih pemain muda negara yang berjaya mempertahankan pingat emas selepas menewaskan pasukan tuan rumah di final.





“Kami tidak ada masalah untuk memberi insentif itu namun jumlah itu bergantung kepada FAM. Jumlah RM1 juta itu mungkin untuk tempoh setahun tapi ia bergantung kepada FAM,” katanya.

Sebelum ini, semua pemain dan pegawai skuad Sukan Sea negara menerima habuan RM30,000 setiap seorang daripada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah atas kejayaan mereka mempertahankan pingat emas yang dimenangi di Laos 2009.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...