KUALA LUMPUR - Selepas Pahang terjerumus ke Liga Perdana musim ini, ramai peminat setia Tok Gajah menjangkakan tonggak serangan kesayangan mereka, Mohd. Azamuddin Mohd. Akil juga akan meninggalkan pasukan tersebut.
Ditambah aksi memukau ketika dipinjamkan ke Kelantan pada saingan Piala Malaysia musim lepas dengan menjaringkan enam gol, Azamuddin atau Alex, dilihat tiada sebab lagi untuk kekal di Pahang ketika banyak pasukan besar memburu khidmatnya dengan tawaran gaji lebih lumayan.
Penghijrahan beberapa pemain utama lain seperti R. Surendran, Mohd. Fazli Baharuddin, Famirul Asyraf Sayuti dan Munir Amran, spekulasi mengatakan Alex akan mencari haluan baru, semakin diperkatakan.
Namun, Alex menidakkan segala ramalan itu apabila tekad bersama Pahang musim ini walaupun mengakui mendapat tawaran dari pasukan lain tetapi dia tidak sampi hati mahu meninggalkan negeri pasukan kelahirannya itu.
"Memang saya ada dapat tawaran dari empat pasukan Liga Super untuk saingan musim ini namun saya masih sayangkan Pahang.
"Punca utama mengapa saya masih mahu kekal di sini adalah kerana sebagai anak jati Pahang, saya rasa bertanggungjawab atas penyingkiran kami ke Liga Perdana musim ini.
"Oleh itu, saya mahu menebus kembali maruah Pahang dengan membantu kembali naik ke Liga Super tahun hadapan, itu azam saya pada tahun ini, " katanya yang ditemui selepas sesi latihan skuad Pahang di Bukit Jalil, baru-baru ini.
Alex bukan nama asing di kalangan penyokong setia skuad Tok Gajah kerana merupakan antara pemain terbaik yang berada dalam skuad Pahang semenjak tiga musim lalu.
Berasal dari Kampung Relong, Kuala Lipis, penyerang berusia 26 tahun itu dianggap antara tonggak senior di dalam pasukan selain ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar yang mencecah usia 36 tahun.
Biarpun membariskan ramai pemain yang kurang berpengalaman pada musim ini, Alex tetap yakin Pahang mampu mencabar kejuaraan Liga Perdana musim ini.
"Mereka berpotensi besar untuk membantu Pahang meraih sesuatu pada musim ini ditambah keserasian antara kami semakin baik.
"Sebagai antara pemain lama di sini, saya sedia membantu dan memberi nasihat kepada mereka (pemain-pemain muda dan baru) mengikut pengalaman yang saya ada, " katanya.
Pahang akan membuka cabaran saingan Liga Perdana 2012 menentang pendatang baru, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Isnin depan.
No comments:
Post a Comment