Monday, January 9, 2012

Status underdog bawa tuah


Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra menyampaikan Piala Sultan Ahmad Shah kepada ketua pasukan Negeri Sembilan, Norhafiz Zamani Misbah selepas Perlawanan Sumbangsih di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

SEREMBAN - Setiap kali perlawanan penting atau melangkah ke pentas final, Negeri Sembilan pasti dilabelkan pasukan underdog oleh ramai jurulatih, pengkritik sukan mahupun peminat bola sepak tanah air.

Namun sedar atau tidak, pasukan Hoben Jang Hoben yang kerap tidak menjadi pilihan ramai, akhirnya mengukir nama selaku juara Piala Malaysia dan terbaru Piala Sumbangsih selepas menumbangkan gergasi pantai Timur, Kelantan 1-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Barangkali atas faktor itu ia seperti membawa tuah serta kelebihan kepada Negeri Sembilan terutamanya pemainnya apabila mereka tampak lebih selesa dan yakin dan secara pasti tidak gugup beraksi menentang lawan.

Perkara itu dipersetujui jurulatih Mohd. Azraai Khor Abdullah, memandangkan pasukan lawan mempunyai barisan pemain yang berpengalaman dan hebat berbanding pasukannya yang rata-rata dibarisi ramai muka baru dan pemain muda.

"Semasa merebut Piala Malaysia musim lalu, ramai yang memilih Terengganu. Kali ini pula ramai pihak termasuk jurulatih lain juga mencongak Kelantan akan menang. Tetapi kita tidak kisah dan lebih selesa begini.

"Kelantan memang pasukan pilihan. Semua orang tahu Negeri Sembilan hilang beberapa 'star' yang berhijrah ke pasukan lain. Ini ditambah isu pemain import, menyebabkan kita ada seorang sahaja pemain import.

"Namun kita optimis dengan mengenepikan semua masalah itu. Kita bentuk sebuah pasukan dengan menilai kelebihan ada yang pada setiap pemain sebelum mengadunkan strategi dan taktikal.

"Alhamdulillah mereka berjaya menterjemahkan dengan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah," katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Mohd. Azraai berpuas hati dengan prestasi pemain importnya dari Cameroon, Jean-Emmananuel Effa Owona, apabila beraksi cemerlang dengan menjaring gol penyamaan pada minit ke-31 serta gol yang mengecewakan penyokong Kelantan pada minit ke-63.

"Sebelum ini kita menguji Effa Owona dalam beberapa siri perlawanan persahabatan. Prestasinya cukup baik dan dalam perlawanan semalam (kelmarin), dia telah membuktikan kemampuannya hingga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

"Aksi beberapa pemain muda yang baru juga harus diberi pujian kerana bukan mudah untuk pemain muda bangkit daripada ketinggalan, apatah lagi menentang Kelantan yang dibarisi pemain berpengalaman, tetapi mereka membuktikan mereka mampu," katanya.

Sementara itu, Norhafiz Zamani Misbah yang diberi kepercayaan menggalas peranan ketua pasukan mengganti Mohd. Shukor berkata, dia gembira kerana kali pertama menjuarai piala berkenaan selepas percubaan pada 2004 bersama Negeri Sembilan gagal.

"Memang kita mahu menang tetapi Kelantan dibarisi pemain yang hebat dan kita hormat mereka sebagai pasukan pilihan.

"Pada 15 minit pertama, Negeri Sembilan belum dapat rentak sebenar sebelum kita bangkit menyusun strategi, apa pun kami gembira apabila keputusan 2-1 kekal hingga wisel penamat," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...