Monday, January 9, 2012

Pemain import tunjuk taring





KUALA LUMPUR - Kepulangan pemain import ke kancah liga bola sepak tempatan yang diharap dapat meningkatkan kualiti permainan sudah mula menunjukkan tanda-tanda matlamat tersebut mampu dicapai.


Kelantan dan Negeri Sembilan yang berentap dalam Perlawanan Sumbangsih kelmarin, tidak membuang masa memperkenalkan tonggak import masing-masing.


Ternyata kehadiran tiga pemain terbabit, Muhamad Ghaddar dan Dennis Agyare Antwi untuk Red Warriors dan Jean Emmanuel Effa Owona bagi skuad Rusa, memantapkan pasukan masing-masing.


Antara tiga pemain import yang beraksi kelmarin, Jean Emmanuel kelahiran Cameroon paling menyerlah selepas dua jaringannya menjulang skuad Hoben Jang Hoben meraih Piala Sultan Ahmad Shah dan dipilih Pemain Terbaik Perlawanan.


Penyerang 'raksasa' dengan susuk tubuh yang tegap dan tinggi lampai, secara solo cukup untuk mengkucar kacirkan pertahanan Kelantan di sepanjang perlawanan.


Bekas pemain kelab Hatta Dubai itu bijak menggunakan kelebihan fizikalnya untuk memegang dan mengawal bola dengan baik. Pemain pertahanan yang berhajat menghalangnya tidak ada pilihan melainkan melakukan bentesan keras.


S. Subramaniam, Azizi Mat Rose, Mohd. Farisham Ismail dan Mohd. Aziz Ismail pastinya tahu kerana sudah merasai 'keperitannya'.


Dua gol, satu menerusi rembatan padu dan satu lagi tandukan oleh Jean Emmanuel kelmarin membuatkan tiga pertahanan yang ditugaskan untuk mengawalnya seolah-olah tidak wujud.


Ia sekali menceritakan betapa lengkapnya pakej dia selaku penyerang yang pengendali skuad Rusa, Mohd. Azrai Khor Abdullah pasti menagih lebih banyak jaringan daripada 'mesin gol' itu selepas ini.


Kehadiran penyerang kebangsaan Lebanon, Muhamad Ghaddar juga amat dirasai dengan kelibatnya menajamkan lagi jentera serangan Red Warriors musim ini.


Penyerang berusia 28 tahun itu mempamerkan kelincahan dan mampu menggelecek melepasi halangan lawan dengan mudah.


Dia juga terlibat dalam gerakan satu-dua dengan Norsharul Idlan Talaha dalam kawasan penalti yang menghasilkan gol pembukaan.


Pengendali Kelantan, Peter Butler berpuas hati dengan mutu permainan pasukannya terutamanya di bahagian serangan dan dijangka terus menggunakan serangan tiga serangkai termasuk Denny Antwi untuk untuk merobek pertahanan lawan untuk musim ini.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...