Monday, January 9, 2012

Musa mahu Sabah digeruni



KOTA KINABALU - Pemimpin tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman, menyandarkan harapan tinggi terhadap prestasi pasukan itu dalam Liga Super musim ini.

Menurut beliau, pasukan itu tidak wajar sekadar mewarnai liga bola sepak negara, sebaliknya Sabah perlu tampil menjadi pesaing yang dihormati dan digeruni oleh lawan.

"Pemain kena kerja keras dan bermain bersungguh- sungguh. Tambahan pula situasi liga Malaysia musim ini berbeza dengan kehadiran semula pemain import. Ia menjanjikan saingan sengit di kalangan pasukan Liga Super.

"Saya tahu kebolehan pemain dan ketua jurulatih, Justin Ganai. Untuk itu, saya berharap Sabah dapat menyinar dalam kelompok lima pasukan terbaik dalam Liga Super musim ini,'' katanya ketika menyampaikan amanat kepada pemain dan pengurusan Sabah FA, di sini semalam.

Terdahulu, Musa bertemu dan meluangkan masa dengan para pemain Sabah termasuk skuad Piala Presiden negeri itu.

Hadir sama, Timbalan Presiden, Datuk Lawrence Gimbang dan tiga Naib Presiden iaitu Datuk Osman Jamal, K.H. Tan dan Datuk Yusof Kassim serta Pengurus Pasukan, Shahriman Abdullah.

Sabah menyenaraikan seramai 27 pemain termasuk dua pemain import iaitu Michael William Baird dan Brendan Gan dalam pasukan itu musim ini.

Skuad Badak yang kemarau piala sejak 1996 turut mengintai sekurang-kurangnya meraih satu piala musim ini dan sasaran pastinya Piala Malaysia, selepas tiga kali bergelar naib juara.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...